KUCHING: Mendapat semangat daripada ayunan undi yang agak besar dalam kalangan pengundi Dayak dalam pilihan raya 2011, DAP mengorak langkah untuk menembusi kawasan separa bandar dan luar bandar Sarawak, dengan menampilkan 11 calon Dayak dalam pilihan raya ke-11 pada 7 Mei nanti.

DAP yang mula mencuba nasib di Sarawak pada hujung 1970-an akan bertanding di enam kerusi majoriti Iban, iaitu  Simanggang,  Pakan, Pelagus, Katibas, Ngemah, dan Samalaju,  tiga kerusi majoriti Bidayuh, iaitu Mambong, Tasik Biru, dan Bukit Semuja, serta dua kerusi majoriti Orang Ulu, iaitu Mulu, Murun.

Menyedari bahawa ia sudah hampir mencapai kemuncak di kerusi majoriti Cina di bandar pada 2011, dengan memenangi 12 kerusi, maka ia terpaksa mencari langkah lain, dengan memperkenalkan Program Impian Sarawak untuk menambat hati pengundi Dayak yang terdiri daripada Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Dalam pilihan raya lalu, DAP hampir memenangi kerusi Senadin apabila hanya kalah dengan 58 undi kepada musuh tradisinya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). Satu lagi kerusi majoriti Cina, Batu Lintang di Kuching dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Berdasarkan kerusi yang bakal ditandingi calon DAP daripada kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu berkenaan, penganalisis politik berpendapat tidak mudah bagi parti berkenaan untuk menumbangkan parti komponen Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan.

BN terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Progresif Demokratik Sarawak dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). SUPP tidak terbabit dalam kerusi yang bakal ditandingi calon Dayak daripada DAP.

Calon DAP yang akan menentang BN di kerusi Samalaju ialah Baba Empera, Mordi Bimol (Tasik Biru), Richard Lias (Ngemah),  Paren Nyawi (Katibas), Frankie Bedindang (Pelagus), Kenneth Adan Silek (Murum), Paul Raja (Mulu), Edward Luak (Bukit Semuja) , Leon Jimat Donald (Simanggang), dan Sanjan Daik (Mambong).

Satu-satunya calon wanita Dayak bagi DAP, Rinda Alexander akan menentang Tan Sri William Mawan Ikom, Presiden Teras, yang bertanding atas tiket calon langsung di Pakan.

Pemerhati berkata, walaupun tidak mudah bagi DAP untuk mengalahkan calon BN, namun DAP dipercayai mempunyai peluang untuk melakukan kejutan termasuk  di kerusi Mulu.

Kesukaran DAP untuk menembusi kerusi luar bandar ada kaitan dengan tahap celik politik yang masih rendah dan keyakinan pengundi luar bandar terhadap BN untuk membawa projek pembangunan ke kawasan mereka.

Program Impian Sarawak  yang dilancarkan pada September 2013 bertujuan untuk menambat hati pengundi Dayak disifatkan sebagai simbolik, serta tidak memberi kesan yang signifikan. Pada asasnya ia merupakan program untuk membekalkan kemudahan asas kepada penduduk kawasan pedalaman.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen dalam kenyataan media berkata  projek tersebut merangkumi pembuatan barang kraf tangan terutama dalam kalangan ibu tunggal dan suri rumah miskin, dengan parti itu membantu dari segi pemasaran.

Menurut Chieng Jen, usaha tersebut dibuat sebagai setia kawan bersama penduduk kampung bahawa mereka tidak bersendirian, dan DAP sentiasa memperjuangkan nasib mereka yang menderita diabaikan.

Menurut Roket, lidah rasmi DAP, antara bantuan yang disumbangkan melalui Impian Sarawak ialah pembinaan jalan asas dan projek air graviti, pembinaan tandas komuniti, projek hidro mikro untuk menjana tenaga elektrik, kem pendidikan dan kem kesihatan di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai akses. – Sarawakvoice.com