Tunku Mahkota Johor: Saya akan terus berjuang tentang rejim yang korup, mahu debat dengan menteri

0
209

KUALA LUMPUR: Ini ialah musim debat. Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengemukakan cabaran kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Datuk Ong Kim Swee untuk berbahas mengenai kemerosotan pasukan bola sepak tanah air.

Pengarah Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia B Sathianathan juga turut dicabar oleh Tunku Ismail yang terkenal dengan sikap berani dan terus terang beliau termasuk terhadap menteri.

Tunku Ismail dilihat tidak bersetuju dengan kenyataan Khairy  bahawa pemain bola sepak tempatan kurang berkualiti.

Debat yang kini dinanti-nantikan adalah antara Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkaitan isu tanah.

Tunku Ismail berkata,  semua pihak perlu lakukan usaha terbaik untuk memperbaiki mutu bola sepak negara bagi penyokong bola sepak.

Kata Tunku Ismail: “Saya bukan ahli politik dan saya tidak memerlukan sebarang undi. Saya tidak bercadang untuk menjadi Presiden FAM dan seperti yang saya katakan sebelum ini, bola sepak bukan sumber pendapatan saya. Jadi mengapa saya hendak lakukannya? Saya lakukan ini kerana saya sudah penat dan bosan dengan pembohongan dan perkara-perkara yang cuba diselindungkan. Sebagai putera diraja rakyat, suara rakyat perlu didengari dan suara mereka adalah keutamaan saya,” katanya.

Dalam keadaan ini, kata Tunku Ismail, tentera tidak boleh dipersalahkan.

“Ia sentiasa adalah pemberi arahan. Begitu juga dengan pemain bola sepak. Mereka tidak salah. Ia adalah kita sebagai persatuan bola sepak dan jurulatih yang patut dipersalahkan. Kualiti pemain bola sepak pada penghujungnya adalah bergantung kepada didikan dan latihan mereka. Sama dengan mana-mana anggota tentera. Jadi hujah saya ialah, kita tidak perlu mengeluarkan kenyataan menyalahkan pemain.”

Sebaliknya, kata Tunku Ismail, kita sebagai orang-orang besar dalam kelab, bola sepak, persatuan dan jurulatih perlu bertanggungjawab dan meletakkannya sebagai kesalahan kita.

“Ia dipanggil memikul tanggungjawab, dan bukan hanya sentiasa melarikan diri, menyalahkan pemain, FAM, persatuan bola sepak dan kelab, “ katanya.

Tunku Ismail berkata, suara peminat bola sepak tanah air perlu menjadi keutamaan kerana mereka mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran tentang masalah sebenar yang dihadapi oleh pasukan bola sepak tanah air.

tmj

Tunku Ismail  menggesa Astro mengadakan siaran langsung di televisyen tentang sesi perbahasan itu bagi membicarakan tentang prestasi buruk pasukan bola sepak kebangsaan serta tindakan selanjutnya yang perlu dilaksanakan selepas ini.

Beliau mengemukakan cabaran untuk berdebat dengan beberapa pihak terbabit menerusi catatan di laman sosial Facebook Johor Southern Tiger,

“Dalam program ini, mereka perlu membenarkan para penyokong untuk menyuarakan pendapat mereka dan menanyakan apa-apa soalan yang mereka mahu,” katanya.

“Sama ada anda suka atau tidak, saya akan terus berjuang menentang mana-mana rejim yang korup. Anda sepatutnya berdiri bersama-sama dan menuntut perubahan. Anda tidak boleh mengubah sesuatu yang anda tidak tahu apa masalahnya. Sebab itu saya katakan cara yang terbaik adalah meletakkan saya di televisyen secara langsung supaya seluruh negara boleh tahu apa masalahnya yang sebenar. Cukuplah dengan segala perkara-perkara yang cuba diselindungkan. Jadilah telus,” tambah Tunku Ismail.

Sementara itu, Bernama melaporkan Khairy  menyatakan kesediaan untuk berbahas dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung kemerosotan prestasi skuad Harimau Malaysia sejak kebelakangan ini.

Tanpa mendedahkan tarikh dan tempat debat berkenaan, Khairy berkata beliau sanggup berdebat dengan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim itu sekiranya ia dapat meningkatkan semula prestasi skuad kebangsaan yang mendapat kritikan hebat daripada peminat bola sepak selepas jatuh dalam ranking ke-174 dunia, kedudukan terendah dalam ranking FIFA yang diperkenalkan pada Dis 1992.

“Ya, ini satu perkara yang baik untuk (pasukan) bola sepak (kita).

“Nanti orang kata tak nak bersemukalah, apalah…,” kata Khairy pada sidang media sebelum menghadiri majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2015 di sebuah hotel di Petaling Jaya, malam tadi.

Pada Selasa, Tunku Ismail menerusi laman Facebook rasmi JDT, The Southern Tigers, dilaporkan mahu berdebat dengan Khairy dan wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mencari punca dan juga penyelesaian kepada kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.   

Ia susulan kenyataan Khairy sebelum ini yang mendakwa bahawa pemain bola sepak tempatan kurang berkualiti.  – Sarawakvoice.com