KUCHING: Sementara  40 calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan 11 calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) kini  boleh dikatakan lega, calon berpotensi untuk lapan lagi kerusi, terutama bagi Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Teras tertekan dan dibelenggu teka-teki bagaimana nasib menjelang hari-hari terakhir senarai semua calon hendak dimuktamadkan.

Segalanya tidak indah  bagi calon berpotensi dan parti terbabit, dengan  presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr. Sim Kui Hian dalam satu kenyataan semalam mengakui untuk pertama kali betapa parti tertua Sarawak itu kecewa dengan keadaan sekarang apabila senarai calon dipaksakan Ketua Menteri ke atas mereka.

“Sementara kami tidak bersetuju dengan calon langsung, Ketua Menteri telah mengambil keputusan yang berbeza daripada pendirian kami. Kami kecewa dengan peruntukan kerusi kepada calon langsung Barisan,”katanya.

Setakat ini SUPP diperuntukan 12 kerusi, sementara parti serpihan Parti Rakyat Bersatu (UPP) mendapat enam kerusi, dengan sebahagian besar daripadanya adalah daripada kerusi asal yang ditandingi SUPP pada 2011. Pada pilihan raya lalu, parti berkenaan bertanding di 19 kerusi tetapi tewas di 13 kerusi majoriti Cina.

Lapan lagi kerusi yang belum diumumkan, menurut pelbagai sumber, adalah disebabkan pertikaian dalaman dan tuntutan bertindih, dengan enam daripadanya membabitkan SPDP dengan Teras, dan dua lagi antara SUPP dan UPP.

Enam  daripada lapan kerusi  yang ditandingi SPDP pada 2011  adalah Marudi,Tasik Biru, Krian, Pakan, Ba Kelalan dan Meluan. Pada pilihan raya lalu SPDP yang ketika itu diterajui Tan Sri William Mawan hilang dua kerusi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), iaitu Ba Kelalan dan Krian, masing-masing kepada Baru Bian dan Ali Biju.

Kini, Mawan yang telah beberapa kali bertukar parti, memimpin Teras, dan  terjebak dalam dilema sama ada untuk menyerahkan kerusi Pakan  yang disandangnya kepada calon baharu, termasuk anaknya Jakson atau Igat.

SPDP ketika ini paling tertekan dengan setakat ini mendapat Batu Danau yang diwakili Paulus Gumbang dan Rosey Yunus.

Dengan SPDP dan Teras saling berebut kerusi terutama Marudi dan Tasik Biru, untuk beberapa minggu lalu, rakyat di peringkat akar umbi telah menyaksikan bagaimana agresif dan sengitnya usaha calon berpotensi terbabit bergerak untuk membuktikan masing-masing lebih mampu menang dan diterima  rakyat.

Di Marudi, kerusi majoriti Iban, penyandang Selvester Entri yang akan bertanding atas tiket Teras, tetapi menang atas tiket SPDP dalam pilihan raya lalu bertembung sengit, dengan Datu Dr Pengguang Manggi, sementara di Tasik Biru sama seperti kes di atas, penyandang Datuk Peter Nansian berentap untuk mendapat tempat dengan usahawan hebat Henry Harry Jinep yang lebih popular. Kedua-dua mereka telah membentangkan kes di hadapan Ketua Menteri.

Hakikatnya, sentimen akar umbi mahu calon penyandang diganti dengan wajah baharu, tetapi sama ada Adenan tunduk terhadap sentimen rakyat atau tidak, banyak bergantung kepada pendirian beliau terhadap kepemimpinan parti, khususnya, SPDP.

Dua kerusi membabitkan SUPP dan UPP ialah Pelawan dan Maradong dengan kedua-dua parti berkeras mahu mewakili kerusi berkenaan bagi pihak BN.

Pada pilihan raya 2011, kerusi majoiriti Cina itu tumbang di kaki DAP, dan kini BN melalui populariti Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berazam kuat untuk merampasnya daripada DAP.

SUPP yang ternyata kecewa dengan tindakan memberi Pujut kepada UPP, kemungkinan tidak akan dapat memenuhi impiannya untuk mendapatkan kedua-dua kerusi baki terbabit, kerana kemungkinan besar, menurut sumber, Maradong diberi kepada UPP, langkah yang dianggap boleh menghiriskan lagi luka pedih yang ditanggungnya.  

Pelawan dipercayai akan diberi kepada SUPP. Tetapi jika kedua-dua kerusi itu diserahkan kepada UPP, pasti ia jadam pahit yang perlu diterima pedih olehnya. Adakah betul ia jadam pahit bagi Supp atau racun berbisa yg diberi oleh KM terhadap Supp? Jadam adalah ubat dan racun adalah pembunuh.

Enam calon langsung UPP setakat ini ialah Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Datuk D.r Jerip Susil (Mambong), Datuk Hii Kiong Chiong (Pujut), Datuk Tiong Thai King (Dudong), Johnical Rayong (Engkilili), dan Ranum Mina (Opar).

Semua mereka itu perlu berundur diri daripada  UPP terlebih dahulu sebagai syarat bertanding sebagai calon langsung, sekali gus meletakkan parti itu, tidak mempunyai nakhoda kepemimpinan presiden – sesuatu keadaan yang luar biasa.- Sarawakvoice.com

Pil pahit untuk Barisan Nasional upload (2)