Friday, September 30, 2022

Ketua kumpulan baju merah, Jamal Yunos dihalang masuk Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Ketua kumpulan baju merah yang aktif mencabar kumpulan Bersih 4.0, Datuk Jamal Md. Yunos hari ini menjadi individu mutakhir dihalang memasuki Sarawak.

Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri, Ambrose Cheng yang mengesahkan perkara itu berkata, Jamal, 41, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini dan diarahkan kembali ke ibu negara menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia pada jam 2.15 petang tadi.

Cheng dalam mesejnya kepada pihak media Sarawak berkata, ” Seorang Ketua UMNO bahagian bersama beberapa ahli daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diharamkan memasuki Sarawak.

“Mereka sekarang masih berada di lapangan terbang sementara menunggu penerbangan pulang semula ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jamal yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Peniaga Kuala Lumpur baru-baru ini mengumumkan untuk menganjurkan protes dalam bentuk pasar malam pada hari Khamis dan Jumaat ini di hadapan kediaman Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), Datuk S Ambiga di Damansara, Kuala Lumpur.

Jamal Yunos dihalang3

Protes itu dianjurkan untuk menuntut ganti rugi kerana para peniaga terpaksa menutup premis perniagaan mereka pada 28 April lalu ekoran protes “duduk dan bantah” Bersih 3.0 yang diketuai Ambiga.

Jamal yang terkenal sebagai pemilik rangkaian restoran ikan bakar memiliki 25 syarikat perniagaan.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Sarawak, Ken Leben menjelaskan, mana-mana individu yang ditegah masuk ke Sarawak mengetahui status kemasukannya di kaunter Imigresen.

“Ketika ini, nama dan jumlah individu yang ditegah masuk tidak dapat kami dedahkan.

“Segala arahan larangan tersebut dikeluarkan oleh kerajaan negeri dari semasa ke semasa dan imigresen hanya badan perlaksana,” katanya ketika dihubungi sarawakvoice.com hari ini.

Katanya, tiada tempoh spesifik yang ditetapkan dalam pelaksanaan imigresen baharu ini.

Dari Januari hingga April tahun ini, pihaknya merekodkan empat personaliti ditegah masuk ke Sarawak, termasuk ahli politik Mohammad Sabu dan Teo Nie Ching.

Arahan menegah kemasukan pelampau agama dan ahli politik ini telah mendapat kecaman daripada pihak pembangkang. – Sarawakvoice.com

Jamal Yunos dihalang Jamal Yunos dihalang2

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru