Wednesday, November 30, 2022

Empat mangsa culik masih hidup, bapa mangsa terima panggilan anak

Secara Rawak

SIBU: Keempat-empat anak kapal “Massive 6” yang dilarikan sekumpulan lapan lelaki bertopeng dipercayai militan Abu Sayyaf di perairan Semporna, 2 April lalu dilaporkan selamat.

Bagaimanapun, kedudukan lokasi sebenar mereka ditahan masih belum dapat dipastikan.

Memetik laporan sebuah akhbar tempatan hari ini, ibu kepada mangsa yang paling muda Johnny Lau Jung Hien, 21 tahun, memberitahu, bapa kepada dua lagi mangsa, Wong Chee Ming telah  menerima panggilan daripada anaknya pada malam Selasa, yang kemudian mengesahkan tahap keselamatan mereka.

Chee Ming, 55 tahun merupakan bapa kepada adik beradik Wong Teck Kang, 31 tahun dan Wong Teck Chi, 29 tahun. Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Wong Hung Sing, 34 tahun.

Ia merupakan panggilan pertama mangsa selepas insiden tersebut tercetus pada 2 April lalu.

Ibu kepada Lau Jung berkata, kesemua keluarga mangsa kini menyerahkan kepada pihak polis dan Kerajaan Malaysia untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dengan pihak berkuasa Filipina dalam menangani isu ini, seterusnya membawa balik anaknya dan tiga lagi mangsa dengan selamat.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun ketika dihubungi enggan mengulas lanjut panggilan yang diterima oleh keluarga mangsa tersebut.

Menurutnya, kes masih dalam siasatan dan beliau khuatir sebarang kenyataan boleh menyebabkan nyawa empat tebusan tersebut terancam.

Dalam kejadian sekitar jam 6.15 petang pada 2 April lalu, empat anak kapal Massive 6 yang berdaftar di Miri, telah diculik sekumpulan lapan lelaki bertopeng yang lengkap bersenjata api sebelum melarikan diri menggunakan bot laju dua enjin ke sempadan Pulau Ligitan, Semporna, Sabah.

Turut berada di atas kapal ketika kejadian ialah tiga anak kapal warga Myanmar dan dua dari Indonesia. Bagaimanapun, kelima-lima anak kapal warga asing itu dibebaskan kemudian.

Kapal tunda itu dipercayai sedang dalam perjalanan balik ke Tawau, Sabah selepas menghantar muatan balak ke Filipina.

Ia merupakan kejadian kedua dalam tempoh sebulan di kawasan tersebut, selepas sebuah kapal berdaftar di Indonesia juga menerima nasib yang sama. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru