Friday, September 30, 2022

Saya perlu lindungi kepentingan rakyat Sarawak dari unsur tidak baik — Adenan

Secara Rawak

KUCHING: Dengan nada keras dan wajah serius, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem semalam menegaskan tindakannya melakukan pengharaman masuk ahli-ahli politik pembangkang ke negeri ini adalah bertujuan melindungi kepentingan rakyat Sarawak.

“Saya perlu melindungi kepentingan rakyat Sarawak, terutama daripada unsur-unsur yang tidak baik… dari sudut politik dan sebagainya.

“Itu tugas dan tanggungjawab saya sebagai Ketua Menteri Sarawak,” katanya sewaktu sidang media mengumumkan 11 calon Barisan Nasional di pejabatnya di Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia, dekat sini semalam.

Dengan sut kelabu tanpa tali leher, Adenan dengan yakin menepis “suara-suara liar” pembangkang yang membantah tindakan Kerajaan Negeri Sarawak itu sebagai menyalahgunakan kuasa Ketua Menteri.

“Saya menjangkakan tindakan pihak pembangkang itu. Ia merupakan cerita basi yang sama didendang mereka… (kisah yang) dikitar semula.

Ditanya sama ada pengharaman ini akan ditarik balik, Adenan menjawab: ” Saya rasa anda tahu pengharaman ini tidak akan ditarik balik.

“Tetapi mereka berpeluang untuk datang ke Sarawak bila-bila masa selepas pilihan raya,” katanya sambil berseloroh telah menjalankan tugas mempromosikan pelancongan.

Tan Sri Adenan berkata, beliau kesal dengan tindakan sesetengah pihak, terutama pemimpin pembangkang di Semenanjung yang mempersoalkan hak istimewa Kerajaan Negeri menghalang kemasukan individu-individu ini ke Sarawak.

“Sebagai contoh Ketua Wanita PKR (Zuraida Kamaruddin) yang mempertikai keputusan kita dan berkata, jika mereka berkuasa mereka akan menghapuskan kuasa autonomi imegresen negeri ini. Saya kesal dia berkata demikian,” katanya.

Kali terakhir Zuraida melakukan percubaan memasuki Sarawak adalah pada 1.15 petang 29 Januari lalu, namun semakan imigresen mendapati namanya masih dalam senarai “NTL” atau tidak dibenarkan masuk ke negeri ini.

Selain Zuraida, seramai 31 individu lain telah dikenal pasti berada dalam senarai NTL sejak 1994.

Bermula dengan R. Sivarasa pada tahun 2009, terdapat 12 lagi pemimpin pembangkang berhadapan tindakan serupa termasuk yang terkini termasuk Teo Nie Ching (ahli parlimen Kulai DAP), Ooi Leng Hang (Pereka maskot Ubah DAP) Sim Tze Tzin (ahli parlimen Bayan Baru, DAP) dan Abdul Malek Abul Kassim (Exco Pulau Pinang dari PKR).

Manakala pemimpin badan bukan kerajaan yang berada dalam senarai kerana dilihat sebagai kelompok ekstremis agama dan kaum termasuklah bekas pengerusi bersama Bersih,  Datuk Ambiga Sreenevasan, ahli akademik Profesor Ridhuan Tee Abdullah dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Sebelum membentuk Malaysia pada 16 September 1963, terdapat 20 dan 18 perkara yang secara konsensus telah dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat untuk diberikan kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak.

Pada perkara ke-6 perjanjian tersebut, tercatat klausa kuasa Imigresen seperti berikut:

“Kawalan imigresen di mana-mana bahagian di Malaysia dari luar adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat tetapi kemasukan ke Borneo (Sarawak & Sabah) perlu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri. Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya memberi kuasa veto berhubung kemasukan orang ke wilayah Borneo (Sarawak & Sabah ) untuk tujuan-tujuan Kerajaan Negeri kecuali atas aspek keselamatan. Borneo (Sarawak & Sabah) harus mempunyai kuasa sepenuhnya terhadap pergerakan orang lain selain mereka yang bekerja dengan Kerajaan Persekutuan dari bahagian-bahagian lain di Borneo (Sarawak & Sabah).” – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru