Saturday, December 3, 2022

Jersi no. 11 buat Adenan Satem sebagai kapten

Secara Rawak

Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali ke-11 pada Ahad lalu. Suatu rekod luar biasa buat pemain no. 1 Malaysia itu dan lebih manis pastinya menewaskan musuh tradisinya Chen Long yang kini merupakan pemain no. 1 Dunia.

Jikalau bukan kerana perkembangan teknologi komunikasi massa, sudah pastinya semua muka depan akhbar semalam 11 April (Isnin) memaparkan berita berkenaan.

Bukan sahaja perlawanan itu disiarkan secara langsung tetapi perkembangan perlawanan tersebut dikemas kini oleh rakan-rakan dalam WhatsApp group sepanjang perlawanan. Semuanya di hujung jari.      

Begitu pun semalam 11 April, saya mengandaikan 71 orang di Sarawak telah kehilangan kerja apabila Dewan Undangan Negeri (Dun)  telah dibubarkan untuk menyerahkan semula kuasa balik kepada rakyat Sarawak untuk memilih wakil rakyat mereka.  

Kebetulan juga untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ke-11 bagi negeri Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi tetapi ngam jugalah kerana saya yakin Dun tersebut perlu dilakukan pengubahsuaian untuk menampung penambahan 11 Adun baharu ekoran persempadanan semula yang telah diluluskan tempoh hari.

Sedikit pengetahuan am barisan kabinet sedia ada akan terus dikekalkan bertindak sebagai caretaker kepada pentadbiran kerajaan negeri Sarawak sehinggalah barisan kabinet yang baharu dilantik selepas PRN-11 nanti.

adenan no 11

Pada 29 Mar lalu Adenan turut sudah mengumumkan 11 nama calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang menyaksikan empat muka baharu dan selebihnya semua penyandang kerusi termasuk Tan Sri James Jemut Masing untuk kerusi Baleh.  

Pengumuman Datuk Huang Tiong Sii sebagai calon SUPP untuk kerusi Repok pada Jumaat lepas juga bermaksud setakat ini SUPP mempunyai 11 kerusi.

Ini semua kebetulan atau adakah nombor 11 nombor bertuah Adenan Satem?   

Nombor bertuah mempunyai nilai yang besar bagi masyarakat Cina. Bukan sahaja boleh dilihat pada perebutan memiliki nombor plat kereta yang bertuah tetapi hampir setiap aspek kehidupan mereka termasuklah sensitif dengan nombor rumah yang ingin dibeli.

Dalam bola sepak jersi no. 11 biasanya disarung oleh playmaker. Sungguhpun tidak berprestij seperti no. 10 namun penyarung nombor berkenaan bertanggungjawab mengatur strategi keseluruhan pasukan.  Kalah atau menang pasukan itu terletak pada bahu playmaker.

Begitu pun sememangnya nombor 11 ialah nombor yang baik kerana ia ialah nombor pertama yang berulang dua kali dan Cina pun ada pepatah berbunyi “perkara-perkara yang baik datang secara berpasangan” (“好事 成双”).

Makanya jika Adenan boleh menjaga pasukannya berdasarkan resepi kejayaan terletak pada semangat berpasukan, sudah pasti kemenangan memihak kepada BN.  

Begitu pun jika ada mana-mana individu termasuk kapten sendiri yang berkompromi dengan ‘orang luar’, sudah pasti dapat menjejaskan sebarang peluang yang ada.  – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru