SERIAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 Kuching berjaya merampas 8,000 kilogram beras dan 480 kotak minuman keras dalam satu serbuan di sebuah stor di Km1, Jalan Tebedu-Serian di sini, semalam.

Serbuan jam 11 pagi itu turut disertai Jabatan Kastam, SPRM dan pegawai dari Kawal Selia Padi dan Beras Sarawak.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 11 Superintendan Soh Hock Seng, berkata serbuan ke gudang itu menemui 800 kampit beras dan pemeriksaan mendapati lesen sah untuk menyimpan dan mengedar beras terbabit sudah tamat pada November tahun lepas.

“Polis turut menemui sebanyak 480 kotak minuman yang tidak mempunyai cukai Jabatan Kastam dan dipercayai diperoleh secara seludup,” katanya.

Susulan pemeriksaan itu seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan. – Sarawakvoice.com