KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan mengadakan mesyuarat kedua dalam masa terdekat bagi membincangkan perkembangan terbaru berhubung pelaksanaan syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menterinya, Datuk P Kamalanathan berkata, mesyuarat kedua itu merupakan susulan mesyuarat pertamanya yang diadakan bersama pihak berkepentingan pada tahun lepas bagi mendapatkan pendapat mereka berkaitan perkara tersebut.   

“Kami akan mengadakan satu lagi mesyuarat dengan pihak berkepentingan untuk memberitahu status terkini dan perancangan kita pada bulan ini atau bulan hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis graduasi Danajamin 100 di sini, hari ini, lapor Bernama.  

Pada Ogos tahun lalu, Kementerian Pendidikan menangguhkan syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris itu, yang sepatutnya berkuat kuasa mulai tahun ini.

Cadangan mewajibkan lulus Bahasa Inggeris dalam SPM dibuat pada 2013.

Mengulas mengenai majlis graduasi Danajamin 100, beliau berkata, program kepimpinan yang dianjurkan oleh Danajamin Nasional Berhad itu membantu melahirkan modal insan berguna yang selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Danajamin 100 merupakan program pembangunan kepimpinan yang dilancarkan pada 2014 dengan memberi tumpuan kepada tiga elemen utama iaitu sahsiah diri, kepemimpinan dan kemahiran profesional.

Seramai 30 pelajar tingkatan empat dari sekolah Pintar sekitar Selangor dan Negeri Sembilan menerima sijil penghargaan dan sumbangan RM1,500 dalam bentuk SSPN-i selepas menamatkan program kepimpinan selama tiga tahun.

Kesemua pelajar tersebut dipilih berdasarkan pencapaian akademik, kokurikulum dan potensi kepimpinan serta menjalani pelbagai aktiviti yang memfokuskan membentuk personaliti, nilai kepimpinan, komunikasi dan kemahiran profesional sepanjang tempoh program itu.