KUCHING: Sekurang-kurangnya tujuh parti pembangkang akan menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya nanti.

Selain DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan Amanah, sekurang-kurang tiga lagi parti pembangkang akan memberi tentangan di 82 kerusi, termasuk di 11 kerusi baharu.

DAP bertanding di 19 kerusi, PKR 49 dan Pas 5 kerusi dalam pilihan raya lalu. Dap meraih 12, PKR 3, Pas kalah semua kerusi, dan Bebas memenangi 1 kerusi, sekali gus merekodkan pencapaian terbaik dalam pilihan raya yang menyaksikan 71 kerusi ditandingi.

BN hanya mencatat 55 peratus undi popular apabila sekitar 73  peratus daripada sekitar 900,000 pengundi turun menentukan nasib Sarawak pada 16 April 2011 di sebalik kepemimpinan bekas Ketua Menteri yang sudah menjadi beban, dan dikritik kerana terlalu lama berkuasa.

Tun Abdul Taib Mahmud berundur pada 2014 selepas 33 tahun menerajui Sarawak akhir Februari 2014.

Dengan DAP dijangka bertanding di 35 kerusi dan PKR di 37 kerusi, Pas 11 kerusi dan Amanah 13 kerusi, pasti akan berlaku pertindihan dan persaingan sesama sendiri.

Cabaran besar bagi DAP adalah untuk mengekalkan kerusinya di sebalik populariti Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang mencecah 85 peratus, menurut kajian Majlis Profesor Negara (MPN).

Parti pembangkang utama Sarawak itu menyasarkan untuk memenangi sehingga 22 kerusi, PKR 10 kerusi, dan Pas 1 kerusi.  

Jika semua itu menjadi kenyataan, parti pembangkang akan memenangi 33 kerusi. Angka itu, menurut penganalisis politik adalah impian yang sukar dicapai, malah tidak realistik.

Meskipun terdapat sekitar 22 kerusi hitam BN, tetapi dijangka sebaik-baik pencapaian pembangkang adalah untuk meraih 18 kerusi.  

Dengan strategi betul BN termasuk dari segi pemilihan calon dan keupayaannya memberi projek pembangunan, serta kekuatan kewangannya,  sebahagian kerusi yang dikategorikan hitam itu dapat dikelabukan atau diputihkan menjelang hari-hari terakhir sebelum hari pengundian, kata penganalisis.

Pemerhati politik beranggapan peluang Pas dan Amanah untuk memenangi sebarang kerusi adalah sifar kerana banyak faktor, antaranya jentera akar umbi yang lemah, keterbatasan kewangan, serta imej dan ideologinya tidak serasi dengan 1.14 juta pengundi Sarawak.

Sementara itu, BN berdepan masalah pertikaian dalaman dan memuktamadkan calon yang boleh diterima semua di peringkat akar umbi dan parti yang menyaksikan Adenan terpaksa mengumumkan senarai calon kelompok demi kelompok dan berperingkat-peringkat.

Hal ini menandakan bahawa memang ada masalah dalam memuktamadkan senarai akhir bagi memastikan mandat yang lebih kukuh untuk beliau, yang pertama kali menerajui BN sejak menjadi Ketua Menteri.

Di Kuala Lumpur semalam Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  berkata, Parti Harapan, telah hampir berjaya menyelesaikan tuntutan bertindih dari segi agihan kerusi bagi memastikan mereka dapat berdepan BN satu lawan satu, seperti dalam pilihan raya lalu.

Satu pakatan yang baru muncul, Pakatan Bebas yang menggelarkan dirinya sebagai Barisan Malaysia yang diterajui Affendi Jeman akan mencuba nasib di 45 kerusi bumiputera, dengan kini sudah pun mendapat 15 calon. Beliau bersedia untuk menerima calon Bebas lain ke dalam pakatan terbabit, kata beliau di sidang media di sini, semalam.

Peace Party turut menyimpan impian untuk mencuba nasib di 12 kerusi meskipun presidennya Pok Ungkut tidak pasti kerusi yang bakal ditandingi.

Begitu juga parti pimpinan Larry Sng, Sarawak Workers Party (SWP), tetapi yang pasti beliau akan menentang Jefferson Jamit (PBB) di kerusi baharu, Bukit Goram dalam persaingan yang dijangka sengit.

Parti Star yang kehilangan penerajunya Datuk Dr Patau Rubis baru-baru ini, bagai kapal yang kehilangan nahkoda, dan tidak pasti akan bertanding kerana berdepan masalah kewangan.

Dengan begitu banyak parti pembangkang yang tidak mempunyai haluan yang sama, ini dijangka akan memberi sedikit kelebihan kepada BN, kerana undi mereka akan pecah. – Sarawakvoice.com