BAU: Ketua Menteri  Tan Sri Adenan Satem berdepan dilema besar dalam menentukan calon yang bakal mewakili BN di Tasik Biru. Sama ada memilih Datuk Peter Nansian Ngusie, penyandang yang mewakili kerusi itu selama empat penggal atau pendatang baharu, Datuk Henry Harry Jinep, usahawan terkemuka masyarakat Bidayuh.

tasik biru adenan 2
Peter Nansian (kiri) berjabat tangan dengan Henry

Sejak beberapa bulan lalu, kedua-dua bakal calon terbabit telah bergerak di akar umbi secara agresif, dengan mengadakan program desa ke desa, termasuk di perkampungan pedalaman Bidayuh seperti Serikin, Stass, di kawasan Jagoi dan Singai.

Program mereka bersifat memperkenalkan diri kepada pengundi melalui program ramah mesra, majlis makan malam yang dimeriahkan dengan nyanyian, ceramah politik, selain mengikuti timbalan menteri asas tani, Anthony Nogeh, Ahli Parlimen SPDP.

Peter Nansian dikatakan memiliki kelebihan kerana beliau memegang dua portfolio, iaitu Menteri Pembangunan Komuniti dan Menteri Muda Pembangunan Perindustrian.

Peter Nansian mempunyai hubungan akrab dengan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, tokoh berpengaruh dalam PBB. Selain itu, beliau juga menguasai jentera pentadbiran akar umbi seperti ketua masyarakat dan kaunselor.  

Ramai ketua masyarakat yang menyokong SPDP ditamatkan perkhidmatan dua tahun lalu, dan digantikan dengan penyokong beliau, dan ini memberi kelebihan kepada beliau dari segi jentera akar umbi.

Pada 2011, Peter Nansian  memperoleh 5,829 undi (55.2%) untuk menumbangkan John Tenewi Nuek (PKR) yang meraih 3,752 undi (35.6%), Frankie Jurem Nyombui (Bebas) yang mendapat 825 undi (7.8%) dan Nani sahari (Pas) yang mencatat 1,002 undi (18.2%).

Berdasarkan prestasi sedemikian, kerusi ini dapat dianggap marginal dan hampir berada di hujung tanduk. Persoalannya adakah prestasi Peter Nansian dalam tempoh lima tahun lalu dikagumi pengundi? Atau pencapaiannya semakin teruk? Untuk mengekalkan 55.2 peratus  undi dengan majoriti 2,072 undi, yang diraihnya lima tahun lalu  tentu sukar.

Henry, 48,  merupakan Datuk yang termuda dalam masyarakat Bidayuh, dan dianggap sebagai ikon dalam bidang keusahawanan. Dari segi perwatakan, menurut jejakan SarawakVoice, beliau mudah didampingi, suka menderma, membantu membina gereja, menolong mereka yang susah, serta bergerak melalui Yayasan John Jinep, sempena nama bapanya.

Baru-baru ini, institusi memandu milik beliau telah mendapat anugerah lima bintang, membayangkan kualiti kepemimpinan dalam menerajui syarikat.

Kedua-dua calon telah diberi peluang oleh Ketua Menteri untuk menunjukkan kekuatan masing-masing di dua majlis berasingan. Adenan tidak harus hanya bergantung kepada jumlah mereka yang hadir kerana ia tidak semestinya memberi gambaran sebenar kerana individu terbabit boleh saja menggunakan pelbagai strategi dan pendekatan untuk menghimpunkan mereka yang hadir, termasuk dari luar kawasan dan bukan pengundi.

Rakyat akar umbi lebih memihak kepada beliau kerana mereka mahu wajah baharu dengan idea baharu mewakili kawasan itu selepas terlalu lama berada di bawah Peter Nansian yang didakwa tidak banyak membawa transformasi.

Kegagalan Nansian untuk membawa pembangunan yang dihajati dan dijanjikan seperti bangunan pentadbiran di daerah Bau, sekolah SMK Singai masih terbengkalai juga sering menghantui beliau dan dimomok-momokkan pengundi.

Berbanding Peter Nansian, Henry mendapat kerjasama empat parti komponen BN — PBB, SUPP, SPDP, dan PRS.

Tinjauan pelbagai agensi dan penyelidik bebas berkata, kebanyakan pengundi memihak kepada Henry, dan ini bukanlah mengejutkan. Jadi Adenan perlu membuat pilihan yang tepat bagi memastikan calon mampu menang dan disenangi rakyat ditampilkan. – Sarawakvoice.com