PUTRAJAYA: Pendekatan ‘politik kesejahteraan’ yang dipopularkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem merupakan kelebihan yang menambat hati rakyat untuk Barisan Nasional (BN) meneruskan kesinambungan penguasaan di negeri itu, menurut penganalisis politik.

Mereka berpendapat kepimpinan dan pendekatan Adenan itu sejak dua tahun lalu dilihat mampu meningkatkan lagi sokongan rakyat Sarawak kepada BN dalam pilihan raya negeri ke-11 akan datang.

Prof Madya Stanley Bye Kadam Kia daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata pendekatan itu jauh berbeza berbanding kepimpinan terdahulu Tun Abdul Taib Mahmud yang lebih berteraskan kepada ‘politik pembangunan’, melibatkan perkara asas seperti pembangunan sekolah dan jalan raya.

“Tetapi, pelaksanaan dasar baharu seperti keputusan menghapuskan tol di semua jambatan di negeri itu, cukai pintu dikurangkan dan cukai tanah dihapuskan menjadi strategi politik baharu menambat hati dan minda pengundi.

“Ini akan memberi anjakan serta harapan baharu untuk masyarakat Sarawak mengundi dan menyokong kepimpinan Adenan,” kata penganalisis politik itu kepada pemberita selepas sesi perbincangan meja bulat bertajuk ‘Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11’, di sini Jumaat.

Perbincangan meja bulat itu dianjurkan oleh Majlis Profesor Negara (MPN) bagi mengupas beberapa isu, antaranya pola sokongan dan pengundian semasa, mengkaji trend semasa pengundi dan keupayaan parti-parti bertanding mengekalkan kerusi di kawasan masing-masing.

Stanley merupakan seorang daripada panelis dalam sesi pertama membincangkan tajuk ‘Kepimpinan dan Dasar Adenan Satem di Sarawak: Isu dan Cabaran,’ yang turut disertai penganalisis politik Prof Madya Dr Jeniri Amir daripada Unimas dan Dr Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bagi Jeniri pula, watak dan sentuhan kemanusiaan Ketua Menteri Sarawak itu juga akan menjadi cabaran kuat kepada pembangkang untuk mengalahkan BN di Sarawak, manakala penyokong tegar BN di kawasan luar bandar dan pedalaman menjadi sangat kuat.

“82 kerusi yang dipertandingkan, dua pertiga adalah kerusi luar bandar dan daripada 11 kerusi baharu, sembilan adalah di luar bandar.

“Saya jangkakan pola pengundian akan menyaksikan BN mengukuhkan kedudukan di Sarawak untuk pilihan raya negeri ini dan yang akan datang,” katanya.

Namun begitu, Jeniri berpendapat isu-isu nasional seperti cukai barang dan perkhidmatan dan isu 1Malaysia Development Berhad turut menjadi isu pada pilihan raya negeri dan BN perlu bijak menanganinya dengan baik.

Ditanya mengenai kekuatan pembangkang di Sarawak, Lee berkata parti pembangkang DAP tidak mungkin akan mengulangi pencapaian sama seperti 2011 disebabkan kebanyakan pemimpin terkenal parti itu tidak lagi bersama parti itu.

“Mendiang Karpal Singh sudah tiada. Mereka tidak boleh membawa Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) yang terlibat dalam kontroversi tanah. Secara keseluruhan, DAP tidak sekuat begitu.

“Pencapaian terbaik adalah mengekalkan ‘status quo’ atau yang terburuk hilang empat kerusi semasa pilihan raya itu,” katanya tanpa menyatakan empat kerusi itu.

Lee yakin pengundi luar bandar dan pedalaman akan tetap berdiri teguh di belakang BN kerana BN merupakan satu-satunya parti yang menepati janji melaksanakan segala projek di negeri itu.

Beliau berpendapat isu-isu nasional tidak akan memberi apa-apa kesan dan dianggap soal abstrak dalam kalangan pengundi luar bandar dan pedalaman.

Mengenai pengundi Cina, Lee berpendapat pengundi Cina akan menentukan kemenangan besar BN dan mampu mengubah landskap politik Sarawak kelak.

Adenan baru-baru ini mengumumkan Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan 11 April ini.