KABONG: Pengundi dan penduduk Kabong kini terus  menunggu dengan penuh debar detik kelahiran putera bongsu Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) yang ke-40 di  Dewan Undangan Negeri (Dun) N.40 Kabong.

PBB bakal mempertaruhkan  40 ‘ayam tambatannya’ untuk berentap di 40 kawasan yang ditandingi parti itu daripada 82 kerusi keseluruhan  dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11.

Dun Sarawak  yang secara rasminya dibubar hari ini sekali gus mengundang gelisah penduduk yang sentiasa memasang telinga untuk mengetahui calon terpilih untuk kawasan ini.

Tempoh menunggu itu juga saat yang amat perit bagi enam calon berpotensi.

Bagaikan sedang menunggu masa isteri hendak bersalin  individu seperti Mohd Chee Kadir, 63, Dirwana Azool, 48, Dr. Haji Rossna Bolhassan, 58, Kamaluddin Haji Alkap,58,  Haji Olen Berody @ Tabor ,58, dan Abdullah Sulaiman, 47 kini tidak keruan dan diulit resah.

Istimewanya  pada kali ini ia sarat dengan permainan angka. PRN  Sarawak yang Ke-11 menambah 11  kerusi baharu. DUN Sarawak pula dibubar dengan rasminya pada  11 Mac.

Signifikannya juga, 2016 merupakan ulang tahun ke-40 Perdana  Menteri, Datuk Seri Najib dalam arena politik. Ia menyamai jumlah 40 calon harapan PBB. Secara kebetulan juga angka 11 ialah angka kesukaan Najib.

Najib merupakan PM keenam, Adenan Ketua Menteri kelima.  Angka 6 dan 5 kalau ditambah akan menjadi 11.

Dari segi ejaan nama pula, Najib dengan 5 huruf dan Adenan dengan 6 huruf, jika dijumlahkan ia juga turut membentuk angka 11.

Tiga calon akhir Kabong. Dari Kiri: Mohd Che Kadir, Abdullah Sulaiman dan Dr Rosana
Dari Kiri: Mohd Che Kadir, Abdullah Sulaiman dan Dr Rosana

Jika berdasarkan angka itu  Sarawak Voice menjangkakan angka 11 juga bakal membawa tuah untuk bakal calon di Kabong.

Dari segi faktor usia, mula-mula lagi sejak diwujudkan DUN baharu ini, Adenan membayangkan calon untuk N.40 Kabong ialah calon muda, anak tempatan dan sebaik-baiknya yang berusia dalam lingkungan 40-an.

Justeru pembayang itu turut memudahkan pihak yang terlibat dalam membuat keputusan kini.

Jika diamati baik-baik, prasyarat Adenan turut mengecilkan ruang lingkup pencarian bakal calon.  

Yang jelas, hanya dua orang sahaja calon yang dalam  radar awal berusia dalam lingkungan 40-an.

Dua  daripada calon muda terbabit Dirwana berusia 48 tahun dan Abdullah berusia 47 tahun. Mereka ini  berjawatan pengarah dan seorang lagi  seorang akauntan.

Berbalik kepada fakta angka, mungkinkah angka 11 membawa tuah untuk calon N.40 ?.

Diwana, 48, jika 4 dan 8 ditambah bilangannya menjadi 12. Manakala Abdullah Sulaiman, 47. Jika 4 dan 7 ditambah maka muncullah angka 11.

Dengan tidak  mengaitkan ramalan dengan  sebarang tilik nasib atau dengan ramalan kitab Tajol Mulok, sebaliknya hanya berdasarkan logik angka, tersirat petunjuk untuk  menentukan  pilihan calon Kabong.

Jadi, adakah tuah itu milik  Abdullah Sulaiman?. Apakah dengan naik semula nama Tun Abdullah Badawi sebagai Pengerusi Petronas turut membawa nasib baik untuk nama  Abdullah Sulaiman naik sebagai calon pilihan ?  

Adakah juga kejayaan Datuk Lee Chong Wei yang berjaya merangkul kejuaraan ke-11 dalam Badminton Terbuka Malaysia turut memberi bayangan positif. Hanya Adenan saja yang bakal menekan butang  pengumuman untuk membuat kata putus dan  menamakan calon yang tepat  bagi DUN N.40 Kabong. – Sarawakvoice.com