KUCHING: Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya, 44, hari ini diumumkan sebagai calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun ) Jemoreng.

Dr Juanda yang kini Timbalan Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak akan menggantikan Abu Seman Jahwie yang tidak dicalonkan semula atas alasan kesihatan.

Beliau dilantik sebagai Mufti Perlis pada tahun 2009 ketika usia 37 tahun, atas prinsip pinjaman dan persetujuan daripada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika itu.

Turut diumum panel pemikir JASA, Datuk Idris Buang sebagai calon Dun Muara Tuang.

Idris, 62, seorang peguam, merupakan bekas Ahli Dewan Negara dan pernah menjawat Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak pada era Taib.

Dun Simunjan akan menampilkan muka baharu, Awla Idris, 54 tahun, manakala Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan SEDC Sarawak, Shafiee Ahmad, 46 tahun, akan menjadi calon di Dun Daro, menggantikan Dr Murni Suhaili.

Timbalan Walikota Miri, Mohd Chee Kadir, 63, pula dipilih sebagai calon BN di kerusi baharu Dun Kabong, daripada lapan yang disenarai pendek sebelum ini.

nama calon

Manakala Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Jefferson Jamit Unyat, 58 tahun, dinamakan sebagai calon BN Dun Bukit Goram, juga kerusi baharu.

Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem turut mengumumkan Ahli Majlis Tertinggi Pemuda PBB Sarawak, Miro Simuh, 40 tahun sebagai calon langsung BN di kerusi baharu Dun Serembu.

Kerusi baharu Dun Bukit Semuja pula menyaksikan John Ilus, 52 tahun dipilih sebagai calon langsung BN manakala  Presiden Rurum Kelabit dan Pengerusi Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak, Datuk Gerawat Jala, 59 tahun dinamakan calon langsung BN di satu lagi kerusi baharu, Dun Mulu.

Adenan turut mengumumkan Datuk Abdul Wahab Aziz, 68 tahun, kekal di kerusi Dun Kalaka manakala Datuk Ambrose Blikau, 62 tahun, akan bertanding mempertahankan Dun Katibas. – Sarawakvoice.com

pbb bn candidate
Dari kiri: Awla Idris, Miro Simuh,Jefferson Jamit, Datuk Idris Buang, Mohd Chee Kadir, Datuk Gerawat Jala dan John Ilus