KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) semalam menggesa Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem untuk mengkaji semula dan menarik balik keputusan menghalang kemasukan beberapa ahli politik dan personaliti pembangkang ke negeri ini.

Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, aktiviti politik yang digerakkan oleh kepimpinan pembangkang adalah aktiviti politik yang sah dari segi undang-undang dan tidak melanggar mana-mana peraturan.

“Justeru pengharaman yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini adalah sesuatu yang bukan sahaja tidak praktikal dan tidak munasabah, malah di luar batas undang-undang,” katanya dalam satu sidang media di sini pagi semalam.

Chong berkata, beliau akan menulis kepada Adenan untuk memohon penyelesaian matang terhadap isu ini.

“Biarpun alasan yang diberikan Kerajaan Negeri adalah untuk menghalang puak pelampau agama dan kaum daripada menggugat kedamaian negeri ini, kami beranggapan alasan ini kurang menyakinkan, dan tidak terpakai kepada pemimpin pembangkang yang dihalang masuk oleh Kerajaan Negeri,” tegasnya.

“Nampaknya pengharaman pemimpin pembangkang ini dilakukan atas kepentingan politik BN Sarawak terutama ketika menghadapi pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Chong berkata, tindakan tersebut tidak mencerminkan sikap seorang pemimpin yang terbuka.

“Sebaliknya ia akan menjadikan anda (Adenan) tidak lebih seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sanggup menyalahgunakan kuasa untuk mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri,” tuduhnya.

Katanya, yang bezanya ialah Najib mempunyai lebih kuasa, termasuk mengawal dan menggantung media, kuasa terhadap polis, bank negara dan pejabat Peguam Negara.

“Manakala di pihak anda (Adenan), anda telah menyalahgunakan kuasa Imigresen ini untuk kepentingan BN Sarawak.

Tindakan seperti ini kata Chieng Jen, hanya akan merendahkan-rendahkan kewibawaan kerajaan negeri dan mencalar nama baik Adenan sendiri.

“Ia merupakan satu bentuk kezaliman dan menunjukkan sikap tidak menghormati undang-undang.”

Tindakan Adenan katanya, telah menjejaskan prinsip asas keadilan dan kesamarataan hanya untuk kelebihan jangka pendek.

“Oleh itu, saya menyeru pengharaman ini dimansuhkan agar Sarawak dapat menjadi contoh kepada kempen pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya.

Antara pemimpin dan personaliti pembangkang yang dihalang masuk ke negeri ini termasuklah Tony Pua, Teresa Kok, Teo Nie Ching, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Rafizi Ramli dan Mohammad Sabu.

Turut tersenarai Ambiga Sreenevasan, Clare Rewcastle Brown, Jannie Lasimbang, Maria Chin Abdullah, N. Gobala Krishna, Ridhuan Tee, Saifuddin Nasution Ismail, Sivarasa Rasiah dan Zuraida Kamruddin. – Sarawakvoice.com