KUCHING: Beberapa calon bebas hari ini membentuk satu pakatan yang dinamakan “Barisan Malaysia” bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang ke-11 tidak lama lagi.

Menurut jurucakap kumpulan tersebut, Affendi Jeman, pakatan tersebut yang menggunakan singkatan “BM” dengan logo bunga raya akan bertanding sekurang-kurangnya di 45 kawasan måajoriti Bumiputera.

“Saya yakin apabila rakyat Sarawak mendapat berita tentang wujudnya pakatan bebas ini, mereka akan beralih arah kepada kami sebagai kumpulan alternatif,” katanya yang juga Pengerusi Penaja UMNO Negeri Sarawak dan Pengerusi Penaja Parti Agenda Rakyat Bumiputera Sarawak, yang masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan.

Affendi yang turun kali kedua sebagai calon Bebas selepas PRU yang lalu di Parlimen Santubong berkata, pilihan raya negeri Sarawak seharusnya medan pemilihan eksklusif untuk calon-calon dari negeri ini sahaja.

Affandi Jeman ( bersongkok) dalam sidang media memperkenalkan pakatan calon Bebas semalam.
Affandi Jeman ( bersongkok) dalam sidang media memperkenalkan pakatan calon Bebas semalam.

“Justeru itu, parti-parti, pemimpin dan individu dari Semenanjung, termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet tidak wajar untuk terlibat sama.

“Tidak perlu untuk mereka menabur janji di sini serta berkempen, kerana politik yang dibawa mereka tidak sesuai dalam landskap politik Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, Affendi yang akan bertanding di Dun Pantai Damai, berkata pihaknya meminta semua pihak menghormati pilihan raya kali ini sebagai agenda politik rakyat negeri Sarawak semata-mata.

Mengulas tentang pakatan tersebut, Barisan Malaysia katanya adalah pakatan longgar yang akan menerima keanggotaan daripada mana-mana calon yang tidak mempunyai landasan politik ketika bertanding.

“Mana-mana calon yang akan bertanding sebagai calon Bebas selepas ini boleh menyertai pakatan ini,” katanya.

Ini merupakan kali pertama pakatan calon Bebas diwujudkan dalam menghadapi pilihan raya negara ini. – Sarawakvoice.com