KUALA LUMPUR:  Ketua Pembangkang  Parlimen Malaysia yang juga Parti KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam membidas tindakan Kerajaan Negeri Sarawak menghalang masuk beberapa ahli politik dari parti negeri itu ke Sarawak.

Dalam satu kenyataan media yang bertajuk,  “Demi Sarawak, amalkan demokrasi sihat dan benarkan pimpinan Pakatan Harapan masuk”, Azizah berkata,
tindakan pentadbiran Tan Sri Adenan Satem ini amat mendukacitakan.

” Yang terkini dalam senarai ialah Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Batu Maung dan Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Bayan Baru merangkap Pengarah Strategi KEADILAN.

” Mereka telah dihalang dari memasuki Sarawak tanpa diberi penjelasan mengapa mereka tidak dibenarkan masuk.

Tegasnya, alam demokrasi yang sihat, pertandingan politik yang adil dan sama rata mewajibkan parti-parti politik dari pihak pemerintah dan pembangkang diberi peluang yang sama untuk bertemu pengundi dan menjalankan aktiviti politik yang sah mengikut undang-undang.

“Selagi tiada undang-undang yang dilanggar, kekangan dan halangan tidak patut dikenakan.

wan azizah

Akan tetapi apa yang berlaku sekarang katanya, jelas menunjukkan parti-parti pembangkang diberi layanan yang cukup berbeza berbanding UMNO-Barisan Nasional.

“Mengapa seorang Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimen dihalang dari masuk walhal mereka tiada rekod jenayah atau terlibat dalam sebarang skandal.

” Manakala seorang Presiden parti UMNO yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kontroversi di dalam dan luar negeri diberi layanan yang cukup baik!”

Demi demokrasi dan pilihan raya yang bersih dan adil, tegasnya, beliau menggesa pentadbiran Tan Sri Adenan untuk menghentikan amalan menghalang ahli-ahli politik khusus daripada Pakatan Harapan yang berniat melakukan kerja-kerja politik yang tidak salah dari sudut undang-undang dari memasuki negeri Sarawak.

“Saya harap bahawa Tan Sri Adenan seorang yang adil dan bersikap terbuka; sudah pasti beliau mahu menonjolkan sebuah pentadbiran yang lebih baik dan adil berbanding yang sebelum ini.

“Oleh itu, demi Sarawak, saya harap Tan Sri Adenan mampu membenarkan kami masuk untuk melakukan kerja-kerja politik yang dibenarkan undang-undang dan perlembagaan.

“Marilah kita sama-sama melakukan yang terbaik buat masa depan rakyat Sarawak,” jelasnya lagi.

Sewaktu pembentukan Malaysia pada tahun 1963, semua jawatankuasa yang terlibat telah bersetuju untuk membentuk klausa khas yang memberi kebenaran kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengawal kemasukan ke negeri tersebut melalui kawalan imigresen. – Sarawakvoice.com

BERKAITAN:

Adenan, pemimpin kuat dan popular tidak harus sekat pembangkang memasuki Sarawak