KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan begitu kecewa dengan tindakan Ketua Menteri Sarawak menyekat pemimpin parti daripada memasuki Sarawak dalam apa yang disifatkan percubaan untuk mewujudkan gelanggang yang tidak sama rata dalam permainan politik.

Tetapi, politik bukan permainan tetapi percubaan serius untuk menukar kerajaan atau setidak-tidaknya mengurangkan jumlah kerusi dimenangi lawan.

Dengan 82 kerusi hendak direbut, segala usaha dilakukan bagi memastikan kemenangan masing-masing, termasuk dengan peraturan permainan yang tidak adil.

Kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Adenan Satem telah menyekat dan begitu bernafsu untuk terus menggunakan — atau lebih tepat menyalahgunakan — kuasa autonomi yang ada padanya, dari segi imigresen.

Adenan yang mendakwa dirinya cukup liberal dan demokratik, boleh sahaja memberi seribu alasan, terutamanya untuk mengekang golongan fanatik dan ekstrem.

Tetapi rakyat yang tidak lagi bodoh — menggunakan kata-kata yang digemari Adenan, tahu bahawa tindakan bukan diambil atas alasan pemimpin pembangkang itu taasub, fanatik, ekstrem — dalam soal agama, budaya dan kaum. Kecualilah beliau betul-betul dapat membuktikannya sedemikian.

Memang ironi, malah aneh bagi seorang Ketua Menteri yang sudah menjadi menteri kanan di kerajaan persekutuan, dan menjelajah ke seluruh Semenanjung untuk mengamalkan sikap yang parokial sedemikian.

Memang, Adenan lebih teruk daripada Taib Mahmud dari segi itu.

Dalam tempoh sekitar dua tahun, jumlah mereka yang diharamkan daripada memasuki Sarawak adalah begitu besar. Saya tidak dapat bayangkan, kalau Semenanjung punya kuasa autonomi sedemikian, dan anak Sarawak diambil tindakan sedemikian, entah, 2.7 juta anak Sarawak tentu akan bising dan riuh.

Ini bukan tindakan bijak untuk diamalkan pada tahun 2016. Ini bukan tahun 1916 atau 1963. Ini zaman orang bercakap tentang ketelusan, akauntabiliti, demokrasi matang, dan kecelikan politik.

Seyogia diingat, hak  imigresen itu pada asasnya diwujudkan untuk melindungi rakyat Sarawak. Pemimpin yang popular  dan kuat, sebagaimana dibuktikan daripada jumlah mereka yang mengikut Program Sejiwa Senada, tidak harus berasa terancam. Pemimpin yang mendapat populariti dan sokongan tinggi harus bersikap benar-benar terbuka dan tidak takut dengan kempen pembangkang.

Kuasa imigresen berkenaan secara khusus adalah bagi mengawal penduduk dari Singapura dan Malaya daripada berhijrah beramai-ramai ke negeri Sarawak pada tahun 1960-an. Sebab, ketika itu Sarawak masih mundur dari segi ekonomi dan rakyatnya kurang berilmu.

Tetapi takkan selepas 53 tahun merdeka kita masih lagi tidak yakin, sedangkan kita boleh bergerak dan berniaga di mana-mana negeri di negara ini. Kita tidak harus bersikap mementingkan diri seolah-olah hak kita sahaja yang perlu dipertahankan.

Bagi Adenan, sebagai pemimpin yang dijulang tinggi dan mendapat populariti  mencecah awan, aneh dan satu ironi untuk mengambil tindakan sedemikian.

Hakikatnya, orang kuat dan popular tidak akan menekan orang lemah dan kecil. Kecualilah dia menganggap pembangkang itu sudah mengancam kedudukan beliau. Bermainlah dengan peraturan yang adil di atas gelanggang permainan yang sama rata seperti yang sering diperjuangkan oleh Adenan selama ini.

Mungkinkah itu sebabnya beliau tiba-tiba mengurangkan jumlah kerusi yang bakal dimenangi BN, kepada 60, daripada 70 sebelumnya, seperti dinyatakannya tiga hari lalu? Jangan fikir tulisan ini bertujuan untuk menyokong pembangkang. Sama sekali tidak.

Tulisan ini menyokong kebenaran dan kewarasan. Berdasarkan keghairahan sekarang, bukan mengejutkan jumlah yang bakal disekat akan meningkat menjelang hari penamaan calon dan kempen.

Sejak 2011, sudah 37 orang aktivis, wakil rakyat, dan ahli akademik disekat atas tindakan yang disifatkan pembangkang sebagai tidak masuk akal, tidak munasabah, dan tidak ikut undang-undang.

Sejak Mac 2014 hingga 10 April 2016, sudah 16 orang dari Semenanjung dijerat di bawah hak dan autonomi imigresen, termasuk wakil rakyat, aktivis, ahli akademik, dan Exco Pulau Pinang.

Kalau ini berlaku, masih juga hendak kata ini bukan atas alasan politik. Juga, beri alasan bukan hanya pemimpin pembangkang yang dikenakan sekatan. Tetapi hendak tanya, berapa orang pemimpin BN telah disekat?

Ya, kalau memang mereka  ini fanatik, ekstrem atau pelampau agama, budaya dan kaum, silakan. Saya akan sokong lebih daripada seratus peratus.

Tetapi mereka ini ialah pemimpin politik yang dijamin bergerak di bawah perlembagaan Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan. Juga, pertubuhan mereka sah di bawah pendaftaran pertubuhan.

Sebenarnya, imej Adenan tercalar sedikit oleh tindakan berkenaan, malah mungkin membawa kesan negatif. Pasti imej dan reputasinya terjejas teruk jika ia tidak dilihat berlaku tidak adil dan ‘menyalahgunakan’ kuasanya untuk menyekat pemimpin pembangkang daripada memasuki Sarawak menjelang pilihan raya ini.

Adenan, kami harap anda gunakan hati nurani dan kebijaksanaan untuk bersikap jujur kepada kebenaran, bahwa mereka ini bukan fanatik, pelampau dan ekstremis. – Sarawakvoice.com

BERKAITAN:

Adenan perlu adil dan terbuka, mansuh pengharaman masuk ahli politik ke Sarawak: Wan Azizah