DALAT: Golongan wanita di negeri ini perlu merebut peluang yang disediakan kerajaan untuk menaik taraf kebolehan dan kemahiran mereka.

Isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu berkata, peluang peningkatan kemahiran ini mampu melonjakkan pendapatan dan taraf hidup mereka.

“Kerana itulah kerajaan komited menyediakan pelbagai kursus dan bengkel bagi mempersedia golongan ini untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti penjanaan ekonomi,” katanya ketika merasmikan Majlis Penangguhan Program Mega WWTC @ Dalat di sini, semalam.

Kata Jamilah, beliau amat mengalu-alukan usaha Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak menganjurkan kursus-kursus bersesuaian untuk kalangan wanita luar bandar di negeri ini.

“Dengan kemahiran yang ada, kita yakin dengan sedikit sentuhan dan galakan tambahan, mereka mampu menyertai bidang keusahawanan, baik peringkat kecil mahupun di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama, katanya wakil rakyat setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu berkerjasama dengan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak untuk membantu golongan wanita ini mendapat manfaat daripada bidang keusahawan yang diceburi.

WWTC bertujuan memperkasakan dan menjana pendapatan keluarga golongan wanita dari kategori ibu tunggal, suri rumah dan berpendapatan rendah.

Ia itu berperanan meningkatkan jumlah pendapatan wanita dalam bidang ekonomi membabitkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bermula sejak 2015, sehingga Mac tahun ini, program ini telah menarik perhatian 2365 peserta, yang mengikuti pelbagai kursus seperti jahitan kreatif, masakan, kecantikan dan kursus spa serta urutan.

Turut hadir Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Negeri, Datuk Fatimah Abdullah. – Sarawakvoice.com