BA ‘KELALAN: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam berkata, kementeriannya telah mencapai kejayaan besar dalam melaksanakan enam projek fasa satu Pembinaan Jalan Kawasan Pedalaman dan Tanah Tinggi di Sarawak.

Kejayaan ini katanya, dicapai dengan menelan belanja sekitar RM252.03 juta, jauh murah berbanding kos asal sekitar RM872.2 juta jika dilakukan mengikut kaedah konvesional.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Projek Jiwa Murni telah berjaya melaksanakan pelbagai inovasi, yang sekali gus menjimatkan kos pembinaan laluan sebanyak sebanyak RM620.17 juta.

“Pelaksanaan enam projek ini memberi impak positif kepada 81,400 penduduk, daripada 84 kampung di Sarawak,” katanya pada pelancaran projek itu di tanah tinggi Ba’ Kelalan-Bario semalam.

Inisiatif projek jalan raya Ba’ Kelalan-Bario sepanjang 13 kilometer bermula sejak 9 Januari 2013 dengan kaedah pembinaan baharu yang menelan biaya RM40.83 juta.

Ia memberi penjimatan sebanyak RM24.17 juta berbanding kos asal RM65 juta, dan memberi manfaat kepada sembilan kampung dan 1,200 penduduk.

Pada fasa kedua, kata Hishamuddin, kementeriannya sedang melaksanakan lima projek jalan raya yang dijangka siap pada tahun ini.

“Ini membabitkan naik taraf jalan balak dari Belaga ke Nanga Merit, Kapit sepanjang 130km, pembinaan jalan kampung dari Kuala Medalam-Kampung Kerangan dan Kampung Ensungai, Limbang – 18.5km dan naik taraf jalan skim Rancangan Sepupuk Niah Bekenu, Miri – 16km.

“Dua lagi projek ialah Jalan Ba’Kelalan-Bario, Limbang — 21km dan jalan baharu dari Nanga Merit ke Kapit — 60km.

Kesemau projek ini memberi manfaat yang besar kepada penduduk pedalaman Sarawak, dan menunaikan impian mereka yang jika mengikut kaedah konvensional, menelan masa yang lama untuk disiapkan. – Sarawakvoice.com