KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada jam 9.30 pagi Khamis ini bagi membincangkan agenda pilihan raya negeri Sarawak ke-11.

fbb44d83-d846-4166-b6c4-8b80e7d0850dMenurut notis yang dikeluarkan oleh Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh pagi tadi, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah bagi menentukan bila tarikh penamaan calon, pengundian awal dan tarikh pengundian sebenar.

Mesyuarat juga akan menetapkan Daftar Pemilih yang akan digunakan pada pilihan raya itu kelak.

Pengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak, Datu Takun Sunggah ketika ditemui Sarawakvoice.com berkata, daftar pemilih itu penting kerana ia bukan sahaja menentukan jumlah pemilih yang layak mengundi bahkan di mana mereka akan mengundi, berikutan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun)  Sarawak, yang menyaksikan 11 kerusi baharu dipertanding.

Kata Takun, kemungkinan besar SPR akan menggunakan daftar pemilih Suku Keempat 2015 dan ini bermakna, para pemilih yang mendaftarkan diri hanya pada bulan Januari tahun ini dan selepasnya tidak layak untuk menunaikan hak mereka.

Takun Sunggah
Takun Sunggah

“Bukan kita hendak menafikan (hak mengundi), tetapi mereka tidak layak untuk mengundi kerana hanya berdaftar selepas tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Takun, berikutan pembubaran Dun yang berkuat kuasa hari ini, pihaknya telah bersedia hampir 90 peratus untuk melaksanakan urusan demokrasi itu.

“Kita telah mengenal pasti 82 pegawai pengurus pilihan raya, 82 penolong pegawai pengurus dan ketua-ketua pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya.

Mereka ini katanya, telah menjalani latihan komprehensif sejak November lalu bagi memastikan kelancaran proses ini.

“Pada masa yang sama, kita menggerakkan 21 ribu petugas di seluruh negeri yang akan menjayakan pilihan raya ini kelak,” tambahnya.

Kata Takun, kesemua taklimat penting yang berkaitan dengan pilihan raya terutama kepada parti-parti politik, pihak media serta pasukan keselamatan dan kumpulan pemerhati pilihan raya telah diadakan pada Mac lalu.

“Kita kini berada pada tahap kesiagaan penuh. Dan hanya menunggu hari penamaan calon bagi meneruskan baki tugasan.

Takun telah terlibat dalam pilihan raya negeri dan parlimen sejak 1987 adalah seorang yang cukup berpengalaman dan tenang.

Beliau malah pernah memimpin Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Balingian pada tahun lalu hingga muncul sebagai rekod PRK terbaik setakat ini dalam sejarah negara.

Pilihan raya ke-11 Sarawak dijangka melibatkan 1.14 juta pemilih berbanding 979 ribu yang berdaftar pada tahun 2011. Bagaimanapun, berdasarkan rekod semasa,  diramalkan jumlah pengundi yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka adalah sekitar 75 peratus.

Daripada 82 kerusi yang dipertanding, termasuk 11 kerusi baharu, PRN Sarawak akan melibatkan 1,869 pusat dan 2,936 saluran mengundi. – Sarawakvoice.com

spr prn