KUALA LUMPUR: Hasrat dan impian umat Islam di Melaka untuk bertemu muka dengan pendakwah bebas kelahiran Mumbai, Dr Zakir Naik tidak kesampaian apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengarahkan kelulusan sebelum ini ditarik balik.

Pendakwah Islam tersohor itu dijangka menyampaikan ceramah berkaitan dialog peradaban di antara Hindu dan Islam.

Menurut Khalid, forum tersebut diarah batal kerana ia tidak menguntungkan, dan tidak sesuai dengan masyarakat pelbagai kaum seperti Malaysia.

“Malah ceramah seperti ini, hanya akan memperkecil agama orang lain. Justeru itu, saya menasihatkan penganjur untuk membatalkan jadual syarahan seterusnya,” katanya.

Khalid berkata, pihak polis telah menghubungi penganjur dan mengarahkan mereka membatalkan forum yang bertajuk “Kesamaan Di antara Hindu dan Islam” yang dijadualkan pada 17 April depan di Universiti Teknikal Malaysia, Melaka.

Khalid menerusi twiternya sebelum ini dipetik berkata, polis tidak membenarkan forum ini diadakan sebagai langkah memelihara ketenteraman awam dan mengekalkam keharmonian antara kaum.

Pengumuman Khalid tersebut susulan tuduhan beberapa pihak sebelum ini yang menyifatkan ceramah yang disampaikan Dr Zakir mengandungi unsur kebencian terhadap agama lain.

Dr Zakir menyampaikan syarahannya di Terengganu malam tadi.

12933156_604505486378968_7683858490965609110_n

Ekoran itu, Pemuda MIC semalam berkata, mereka akan membuat laoran polis di seluruh negara sebagai desakan kepada pihak berkuasa untuk menghalang Dr Zakir daripada meneruskan aktiviti ceramahnya.

Ketua Pemuda MIC, C Sivarraajh berkata, Zakir turut dihalang untuk menyampaikan ceramah di beberapa negara lain termasuk Britain dan Kanada — memandangkan kaedah ajarannya yang berpotensi untuk mengundang keganasan.

Tiga hari lalu, Pertubuhan Hindraf Makkal Sakthi turut menggesa kerajaan membatalkan program Zakir di negara ini.

Dr Zakir Abdul Karim Naik yang lahir pada 18 Oktober 1965 di Mumbai merupakan ulama, pendakwah dan penceramah perbandingan agama terkenal dunia.

Beliau merupakan seorang doktor perubatan dan mendapat Sarjana Perubatan dan Bedah (MBBS) daripada Universiti Mumbai.

Pada tahun 1991, Dr Zakir berhenti daripada kerjayanya sebagai doktor perubatan dan beralih kepada bidang dakwah.

Dr Zakir kemudian mengasas dan menjadi presiden Yayasan Penyelidikan Islam yang memiliki siaran Peace TV di Mumbai. Beliau mendapat inspirasi daripada Syeikh Ahmed Deedat kerana keupayaannya menyampaikan dakwah Islam secara terperinci dan membidas kenyataan agama lain melalui kenyataan serta hafalan ayat-ayat daripada kitab Al-Quran, Injil dan lain-lain lagi.

Dr Zakir merupakan penerima Tokoh Maal Hijrah Malaysia pada tahun 2013. – Sarawakvoice.com