Kuasa absah Adenan selepas Dun Sarawak bubar

KUCHING: Urusan pentadbiran tetap berjalan seperti biasa di bawah kerajaan sementara  selepas Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) dibubarkan pada hari ini.

Kata penganalisis yang ditemui, pembubaran Dun hanya membabitkan kuasa politik wakil rakyat yang dipilih pada pilihan raya, tetapi kuasa pentadbiran negeri masih wujud.

Kerajaan sementara penting terus berjalan meskipun Dun dibubarkan bagi memelihara kepentingan rakyat sehingga kerajaan baharu dipilih oleh 1.14 juta pengundi ditubuhkan selepas hari pengundian nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 75 peratus turun mengundi pada pilihan raya ke-11 ini, berbanding 73 peratus pada 2011.

Dalam tempoh Dun dibubarkan sehingga pilihan raya, kerajaan sementaralah atau ‘caretaker government’ yang akan menjaga negeri ini.

Sebagai Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Haji Satem terus menerajui kerajaan sementara dengan kuasa sementara, yakni antara hari ini  hingga Kabinet baharu dibentuk sesuai dengan kehendak Perlembagaan Negeri, sekali gus menamatkan perkhidmatan Kabinet sekarang.

Maksudnya, kuasa memerintah akan beralih daripada Kabinet sekarang kepada kabinet baharu pada tarikh berkenaan nanti.

Jumaat lepas, Adenan dalam satu majlis di Sibu, berkata: “Selepas Dun bubar, saya masih lagi menjadi Ketua Menteri, dan saya akan terus menjadi Ketua Menteri.

“Tidak  harus timbul keraguan  tentang perkara ini; Ketua Menteri masih ada kuasa selepas Dun dibubarkan, kerana itu adalah konvensi, sesuai dengan kehendak undang-undang dan perlembagaan negeri,” kata penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Madya Dr  Jeniri Amir.

Katanya, menjadi konvensi atau kelaziman amalan di negara ini apabila Parlimen atau Dun bubar, sama ada secara automatik atau dibubarkan, kerajaan persekutuan atau negeri  yang sama akan mengambil alih atau meneruskan pentadbiran sebagai kerajaan sementara.

Katanya: “Jadual kuasa yang ada pada kerajaan Adenan nanti ialah kuasa menjalankan tugas secara sementara atau interim.  Perkara yang tiada dan ditiadakan ialah kuasa legislatif penuh seperti menggubal undang-undang atau peraturan baharu atau membuat belanjawan baharu.”

Walaupun demikian,  kata Dr Jeniri, kerajaan sementara itu tetap mempunyai taring untuk menggigit kerana legitimasi yang ada padanya selari dengan tugas interim yang diletakkan di bahunya menurut perlembagaan dan undang-undang negeri.

Kuasa residual dan kuasa sambungan tetap ada padanya demi mentadbir negeri seperti biasa.

Mengulas lanjut Dr  Jeniri berkata, kerajaan sementara ialah kerajaan yang mempunyai legitimasi atau keabsahan,  dan masih berhak  menjalankan tugasnya.

Namun, sebaik-baiknya kerajaan sementara itu tidak terbabit dalam membuat keputusan besar dan utama,  kecuali dalam keadaan genting dan terlalu penting, kerana hakikatnya kerajaan sementara sepatutnya hanya terbabit dalam hal pentadbiran seharian bagi memastikan kerajaan dan pentadbiran lancar, tanpa menjejaskan perkhidmatan untuk rakyat, tambah Dr Jeniri lagi.

Dun Sarawak akan menyaksikan 82 kerusi bakal direbut, termasuk 11 kerusi baharu.

Pada pilihan raya  negeri 2011 yang mempertandingkan 71 kerusi, BN berjaya menubuhkan kerajaan selepas memenangi 55 kerusi, manakala selebihnya dimenangi DAP (12), PKR (3) dan Bebas (1). Sarawakvoice.com

fbb44d83-d846-4166-b6c4-8b80e7d0850d