Kerajaan terus perkasa Tanjung Manis sebagai pusat pertumbuhan ekonomi pesisir Sarawak: Tengah

TANJUNG MANIS: Kerajaan Negeri komited untuk membangunkan Tanjung Manis sebagai pusat pertumbuhan ekonomi utama di kawasan pesisir Sarawak.

Menteri Pembangunan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha ini penting kerana Tanjung Manis terletak di kawasan yang sangat strategik untuk muncul sebagai pelabuhan bertaraf dunia.

“Oleh itu, kerajaan merancang untuk membangunkan lebih banyak prasarana di kawasan bandar baharu ini,” katanya semasa merasmikan Hari Tanjung Manis ke-26 di Pantai Belawai dekat sini, semalam.

Tengah menjelaskan, proses transformasi pembangunan Tanjung Manis, terutamanya sebagai hab halal di rantau ini masih rancak berlangsung, terutamanya di bawah naungan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score).

“Usaha itu tidak dihentikan sebaliknya akan dilaksanakan berterusan mengikut perancangan asal.

“Malah kita akan terus menggiatkan aktiviti promosi bagi menarik kemasukan pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara,” tambahnya.

Tengah menjelaskan, cadangan kerajaan untuk membina menara pentadbiran Tanjung Manis setinggi 16 tingkat juga akan diteruskan, selain projek perumahan, tapak industri perkapalan, kluster industri perabot dan jalan raya.

“Saya berharap pelaksanaan projek itu mampu memperkasakan kawasan Tanjung Manis ini sebagai salah satu kawasan pertumbuhan ekonomi masa depan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian itu berkata, kerajaan negeri juga telah meluluskan permohonan lima pelabur baharu termasuk dari negara China, yang dijangka menyuntik pelaburan sebanyak RM9 bilion ke dalam ekonomi Sarawak.

“Kehadiran mereka bukan sahaja mengerakkan industri dan memindahkan teknologi baharu, malah membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan,” katanya. – Sarawakvoice.com