Cincin tak dapat ditanggal: Lelaki 27 tahun terpaksa tahan sakit setengah jam

MIRI: Seorang lelaki terpaksa menahan sakit lebih setengah jam apabila cincin di jari manisnya tidak dapat ditanggalkan, sekaligus menyebabkan jarinya membengkak dalam kejadian tengah hari, semalam.

Mangsa Tan Hai Lock, 27 memakai cincin itu sejak tiga bulan lalu. Namun, tiba-tiba jarinya membengkak menyebabkan cincin itu susah untuk ditanggalkan.

Mangsa ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan pada jam 12 tengah hari. Namun, hospital terpaksa meminta bantuan bomba untuk menanggalkan cincin itu.

Jurucakap bomba, berkata, bomba menggunakan mesin pemotong besi dan berjaya mengeluarkan cincin berkenaan 20 minit kemudian.

Lelaki itu kemudian dirujuk kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut. – Sarawakvoice.com