KUCHING: Tiga kedai serbaneka 24 jam di Kuching dan Padawan dirompak dalam kejadian berasingan, semalam dan awal pagi tadi.

Kejadian rompakan di ketiga-tiga premis ini membabitkan empat lelaki dengan masing-masing bersenjatakan parang, manakala satu kes di Siburan perompak turut menggunakan pistol mainan.

Menurut sumber, kejadian pertama membabitkan kedai serbaneka di Jalan Satok, di sini yang dirompak pada jam 4.54 pagi, semalam.

Katanya, suspek bertopeng muka dan topi keledar penuh.

“Seorang daripadanya mengacukan parang ke arah pekerja kedai dan mengarahkannya membuka mesin juruwang. Suspek mengambil sejumlah wang tunai, rokok pelbagai jenama, makanan dan minuman.

“Suspek melarikan diri menggunakan dua kenderaan iaitu Perodua Kenari merah dan Perodua Alza coklat,” katanya.

Katanya, kes kedua membabitkan kedai serbaneka di Jalan Wan Alwi pada jam 4.10 pagi, semalam membabitkan empat lelaki dengan dua daripadanya bersenjatakan parang.

Sumber berkata, keempat-empat mereka menggunakan topi keledar dan berpakaian kemas.

“Mereka menggunakan kereta Perodua Kenari merah dan Perodua Viva yang diparkir agak jauh dari premis itu,” katanya.

Katanya, kes ketiga membabitkan sebuah premis kedai serbaneka di Pekan Siburan pada jam 4.10 pagi tadi.

“Empat lelaki bersenjatakan parang dan pistol mainan memecah masuk kedai, mengugut pekerja kedai supaya menyerahkan sejumlah wang.

“Sebelum melarikan diri, mereka sempat mengambil 50 kotak rokok dan meninggalkan premis menggunakan Perodua Kenari merah,” katanya. – Sarawakvoice.com