Friday, September 30, 2022

Terkini Exco Pulau Pinang disekat: Aduhai Adenan, berapa ramai lagikah pemimpin pembangkang dari Semenanjung dihalang?

Secara Rawak

KUCHING:  Kerajaan Negeri Sarawak di bawah pemerintahan Tan Sri Adenan Satem kelihatannya semakin bernafsu untuk menyekat pemimpin dan penyokong pembangkang daripada memasuki Sarawak.

Dalam tempoh dua hari tiga pemimpin pembangkang telah disekat, dengan yang terkini exco kerajaan Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kassim. Setakat ini sekurang-kurangnya 13 pemimpin pembangkang telah tidak dibenarkan memasuki negeri 2.7 juta penduduk itu.

Bagi pihak imigresen Sarawak untuk menyekat seorang exco negeri, ia tentu mempunyai justifikasi kukuh. Ia tentu sedar implikasi besar tindakan itu dalam konteks sebuah negara persekutuan walaupun Sarawak berhak di bawah Seksyen 65(i)(a) Akta Imigresen 1959/63.

Hak imigresen merupakan satu daripada perjanjian 18 Perkara yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia pada 1963 lebih untuk melindungi 700,000 penduduk Sarawak ketika itu yang dianggap masih mundur dan tidak yakin untuk bersaing dengan rakyat dari Singapura, Malaya dan Sabah ketika itu. Namun Singapura ditendang keluar dari Malaysia pada  9 Ogos 1965.

Dalam Twitternya Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, wakil rakyat  Batu Maung dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dihalang menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang selepas mendarat di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuching pagi tadi.

Screen Shot 2016-04-10 at 13.44.40

Lim menyifatkannya sebagai tindakan bersifat salah guna kuasa oleh kerajaan negeri.

Sampai bilakah  kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Adenan yang dikatakan bersikap liberal dan terbuka  terus mengambil tindakan untuk menyekat kemasukan pemimpin pembangkang dari Semenanjung untuk memasuki Sarawak?

Soalan itu relevan kerana, tindakan menghalang pemimpin pembangkang sudah dianggap keterlaluan dan melampau oleh sesetengah pihak, ketika alasan sebenar beliau sebelum ini adalah untuk menghalang golongan fanatik agama dan kaum.

Adakah pemimpin pembangkang berkenaan semuanya ekstremis, fanatik dan menjadi ancaman kepada keharmonian kaum dan agama di negeri ini dengan 46 peratus beragama Kristian, dan sekitar 26 peratus beragama Islam?

Memang ada alasan untuk menyekat mereka yang benar-benar dapat membawa ancaman dan gugatan kepada sosioagama negeri ini. Tetapi, atas alasan apakah golongan yang bukan menjadi ancaman turut disekat?

Mungkin banyak lagi yang akan menjadi mangsa selepas ini, terutama menjelang hari-hari berkempen yang dijangka sekitar 13 hari dari 23 April hingga 6 Mei nanti.

Terdahulu, Ooi Leng Leng Hang seorang ahli dan penyokong DAP Selangor menjadi mangsa keempat daripada parti berkenaan untuk dihalang daripada menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang.

Nama yang bagi pemerhati politik Sarawak sama sekali tidak dikenali, Ooi dikatakan disekat oleh pegawai imigresen kelmarin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Semalam, Ahli Parlimen (MP) Kulai DAP Teo Nie Ching disekat daripada memasuki Bintulu pada 7.30 malam tadi.

Sebelum itu, dua pemimpin DAP yang dihalang ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah lapan nama disenaraihitamkan, manakala presiden parti Amanah Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, juga turut tidak dibenarkan masuk.

Kerajaan negeri sepatutnya mengeluarkan senarai nama semua  individu terbabit untuk tidak meletakkan individu berkenaan dalam kerugian dan kesusahan.

Dalam perkembangan berkaitan, pengerusi DAP negeri Chong Chien Jen berkata DAP Sarawak menyokong autonomi imigresen Sarawak, namun tidak menyokong salah guna kuasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini, dengan berkata: “Kuasa pentadbiran sedemikian sama seperti kuasa polis untuk menyiasat jenayah. Tetapi apabila kuasa berkenaan disalah guna, kita yang  terlebih dahulu terkena.”

Sarawak akan mengadakan pilihan raya ke-11 dijangka pada awal Mei.

Sesungguhnya, mengejutkan tindakan berkenaan ketika BN mendakwa ia berada dalam kedudukan yang kuat, dengan populariti Adenan menjulang tinggi dalam kalangan  rakyat Sarawak.

“Seorang yang popular dan kuat tidak akan mengambil tindakan keras sedemikian terhadap pembangkang,” kata seorang pemerhati.

Sekatan yang dilakukan itu tidak boleh dianggap adil, dan berasas kerana mereka bukan fanatik atau ekstremis, melainkan bersalutkan agenda politik.

Pemerhati beranggapan, imej Adenan dan Sarawak akan lebih menyerlah jika pembangkang dapat bergerak di atas landasan yang saksama dan sama rata, dan bukannya dengan mengenakan sekatan untuk mereka bergerak bebas berkempen.

Adakah menyekat pemimpin pembangkang menjadi teras wujudnya hak autonomi ketika Malaysia dibentuk 53 tahun lalu sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia dan Perjanjian 18 Perkara? – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru