Monday, August 8, 2022

BN yakin menang minimum 60 kerusi

Secara Rawak

SRI AMAN: Di sebalik popularitinya yang mencecah 85 peratus, Tan Sri Adenan Satem hari ini berkata, Barisan Nasional (BN) mampu memenangi sekurang-kurangnya 60 daripada 82 kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya negeri ke-11.

Keupayaan untuk memenangi  jumlah tersebut hanya dapat dicapai jika terdapat perpaduan dalam kalangan parti komponen BN, katanya.

Ketua Menteri berkata demikian ketika merasmikan Program Sejiwa Senada di sini, semalam.

adenan menang

Program bertujuan untuk merapatkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat itu diisi dengan pelbagai aktiviti, termasuk demonstrasi memasak, ceramah, dan seminar pembangunan. Pada 2011 program yang sama berjaya menarik 900,000 pengunjung, menurut statistik rasmi kerajaan.

Menurut satu kajian, terdapat sekitar 22 kerusi boleh dikategorikan hitam, dan kemungkinan BN boleh tewas jika isu calon langsung dan agihan kerusi antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP), serta antara Parti Progresif Demokratik Sarawak dan Teras gagal mencapai matlamat seperti dihasratkan.

Ini merupakan angka yang paling rendah pernah disebut oleh Adenan. Sebelum ini beliau pernah menyatakan bahawa BN boleh memenangi sekurang-kurang 70 kerusi. Beliau juga pernah menyatakan bahawa DAP boleh tewas sehingga di empat kerusi yang kini dalam genggamannya.

Dengan keyakinan mendapatkan jumlah berkenaan, Pengerusi BN negeri itu berkata dengan ‘Pasukan Adenan’, kerajaan negeri yang ada sekarang akan terus berkuasa pada penggal akan datang.

Tidak ada masalah untuk BN memenangi dua pertiga kerusi, tetapi cabaran dan penanda aras paling besar bagi Adenan adalah untuk memastikan kerusi daripada DAP, kebanyakannya di bandar dapat dirampas kembali.

Dalam pilihan raya 2011, BN memenangi 55 kerusi, DAP 12, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 3, dan Bebas 1.

“Selepas menjelajah Sarawak, ada harapan untuk BN. Mungkin bukan kesemua 82 kerusi, tetapi setidak-tidaknya mungkin boleh menang 60 hingga 70 kerusi.

“Asalkan kita bersatu,” katanya di hadapan orang ramai yang membanjiri majlis pelancaran ‘Program Sejiwa Senada’ anjuran kerajaan negeri dan beberapa agensinya.

adenan menang 2

Ketua Menteri memberi penekanan kepada perpaduan dalam parti dan antara parti komponen kerana menyedari perbalahan antara parti komponen dan parti serpihan sekarang boleh membawa padah.

Sebagai jalan keluar, beliau menggunakan pendekatan taktikal dengan menampilkan calon langsung.

Setakat ini, dua calon UPP yang diumumkan sebagai calon langsung ialah Datuk Jerip Susil untuk kerusi Mambong dan Dr Johnical Rayong, Ketua Pemuda UPP, bagi kerusi Engkilili. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru