4 orang DAP, 7 dari PKR, 1 pemimpin Amanah disekat ke Sarawak. Adakah pembangkang ekstremis dan fanatik, Adenan?

0
277

KUCHING:  Sampai bilakah  kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Tan Sri Adenan Satem terus mengambil tindakan untuk menyekat kemasukan pemimpin pembangkang dari Semenanjung untuk memasuki Sarawak?

Soalan itu relevan kerana, tindakan menghalang pemimpin pembangkang sudah dianggap keterlaluan oleh sesetengah pihak, ketika alasan sebenar beliau sebelum ini adalah untuk menghalang golongan fanatik agama dan kaum.

Adakah pemimpin pembangkang berkenaan semuanya ekstremis, fanatik dan menjadi ancaman kepada keharmonian kaum dan agama di negeri 27 etnik itu, dengan 46 peratus beragama Kristian, dan sekitar 26 peratus beragama Islam?

Memang ada alasan untuk menyekat mereka yang benar-benar dapat membawa ancaman dan gugatan kepada sosioagama negeri ini. Tetapi, atas alasan apakah golongan yang bukan menjadi ancam turut disekat?

Ketua Menteri yang kononnya dilabelkan sebagai seorang liberal dan menjunjung demokrasi, perlu memberi alasan kukuh sebelum tindakan tersebut terus diambil.

Mungkin banyak lagi yang akan menjadi mangsa selepas ini, terutama menjelang hari-hari berkempen yang dijangka sekitar 13 hari.

Terbaharu,  Ooi Leng Leng Hang seorang ahli dan penyokong DAP Selangor menjadi mangsa keempat daripada parti berkenaan untuk dihalang daripada menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang.

Nama yang bagi pemerhati politik Sarawak sama sekali tidak dikenali, Ooi dikatakan disekat oleh pegawai imigresen pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Petang semalam, Ahli Parlimen (MP) Kulai DAP Teo Nie Ching disekat daripada memasuki Bintulu pada 7.30 malam tadi.

Sebelum itu, dua pemimpin DAP yang dihalang ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Bagi Parti keadilan Rakyat (PKR) sudah tujuh nama disenaraihitamkan, manakala presiden parti Amanah Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, juga turut tidak dibenarkan masuk.

Kerajaan negeri sepatutnya mengeluarkan senarai nama semua  individu terbabit untuk tidak meletakkan individu berkenaan dalam kerugian dan kesusahan.

Dalam perkembangan berkaitan, pengerusi DAP negeri Chong Chien Jen berkata DAP Sarawak menyokong autonomi imigresen Sarawak, namun tidak menyokong salah guna kuasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini, dengan berkata: “Kuasa pentadbiran sedemikian sama seperti kausa polis untuk menyiasat jenayah. Tetapi apabila kuasa berkenaan disalah guna, kita yang  terlebih dahulu terkena.”

Sarawak akan mengadakan pilihan raya ke-11 dijangka pada awal Mei.

Petang semalam, Teo Nie Ching,  menaiki penerbangan yang sama dengan MP DAP Rasah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.10 petang.

“Kami tiba di Bintulu oleh jam 7.30 malam dan beliau dihantar pulang dengan penerbangan berikutnya ke Kuala Lumpur pada jam 7.50 malam,” kata Teo Kok Seong seperti dipetik Malaysiakini.

Menurutnya, Nie Ching duduk dua baris di depannya dan keluar dahulu.

“Saya keluar kemudian dan menghantar SMS pada jam 7.45 malam, bertanyakan di mana dia berada.

“Dia menjawab, ‘saya di pejabat imigresen’,” katanya kepada portal itu.

Walaupun selepas Kok Seong selesai melalui pemeriksaan imigresen, namun Nie Ching masih tidak kelihatan.

Selepas itu, Kok Seong, bersama dengan Adun DAP Kidurong, Chiew Chin Sing yang berada di sana untuk mengambil mereka, pergi bertanya kepada pegawai imigresen apa yang telah berlaku kepada Nie Ching.

“Imigresen berkata Nie Ching dalam senarai hitam dan mereka hanya bertindak mengikut senarai tersebut,” kata Kok Seong.

Mereka adalah antara kumpulan pertama pemimpin DAP yang tiba di Bintulu untuk menghadiri majlis makan malam mengutip dana esok, menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

Kok Seong, kata portal itu lagi, mencabar Adenan mengeluarkan senarai penuh ahli Parlimen pembangkang yang telah disenarai hitam kerana ramai yang kini terbang ke Sarawak tanpa mengetahui jika mereka akan dihantar pulang semasa ketibaan.

Sesungguhnya, mengejutkan tindakan berkenaan ketika BN mendakwa ia berada dalam kedudukan yang kuat, dengan populariti Adenan menjulang tinggi dalam kalangan 2.7 juta rakyat Sarawak.

Sekatan yang dilakukan itu tidak boleh dianggap adil, dan berasaskan kerana mereka bukan fanatik atau ekstremis, melainkan bersalutkan agenda politik.

Pemerhati beranggapan, imej Adenan dan Sarawak akan lebih baik jika pembangkang dapat bergerak di atas landasan yang saksama dan sama rata, dan bukannya dengan mengenakan sekatan untuk mereka bergerak bebas berkempen.

Adakah menyekat pemimpin pembangkang menjadi teras wujudnya hak autonomi ketika Malaysia dibentuk 53 tahun lalu sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia dan Perjanjian 18 Perkara? – Sarawakvoice.com