Sunday, August 7, 2022

Penyanyi terkenal Iban cabar calon BN di Kakus

Secara Rawak

BINTULU:  Menyedari bahawa ia tidak mungkin dapat menawan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di luar bandar terutama di kawasan bukan Islam, Pas mengambil pendekatan menggunakan strategi menampilkan calon bukan Islam untuk pertama kali dalam pilihan raya akan datang.

Untuk itu, parti Islam berpangkalan di Semenanjung itu mencalonkan seorang penyanyi terkenal Iban pada dekad 1970-an. Clement Bayang, 59, seorang tuai rumah atau ketua rumah panjang, akan mendendangkan lagu lain kali ini.

Jika sekitar 40 tahun lalu beliau berada di atas pentas dan merakamkan lebih daripada 30 album untuk menghiburkan peminatnya di luar bandar dan bandar-bandar utama di Sarawak, kini beliau bakal berada di atas pentas politik untuk menawan hati para pengundi di Kakus, kawasan majoriti Iban.

Tindakannya itu meskipun mengejutkan penghuni dan masyarakat Iban di kawasannya, namun beliau yakin dapat menumpaskan lawan politiknya dalam pilihan raya nanti.

Clement yang menjadi kegemaran dan kegilaan muda mudi pada zaman gemilangnya, ialah Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pas  Sarawak. Sudah menjadi ahli Pas selama tiga tahun, keturunan Iban Kristian ini, mengakui 200 orang telah mendaftarkan diri sebagai ahli Pas, seperti dipetik Bernama.  Clement akan menentang John Sikie Tayai dari Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Dalam pilihan raya negeri ke-10, John Sikie memperoleh  3,366  (51.2%) undi daripada 6,574 pengundi yang turun mengundi pada 16 April 2011. Pencabar beliau, Dick Sekalai dari Parti Cinta Malaysia (PCM) hanya mendapat 186 undi (2.8%), dan calon Bebas, Entali Empin memperoleh hanya 141 (2.1%) undi.  Jumlah yang turun mengundi adalah 68.5 peratus daripada keseluruhan 8,604 pengundi berdaftar.

Beliau berkata, Pas Pusat dan negeri telah memberi banyak sokongan kepadanya serta bersama-sama turun padang dan menyelami masalah yang dihadapi oleh rakyat terutama di Kakus.

Dalam pilihan raya nanti, antara lain beliau tentu akan membangkitkan isu kurangnya pembangunan dan juga isu tanah di kawasan tidak jauh dari Bintulu itu. Clement telah pun menyemai baja dan benih sejak tiga tahun lalu di Kakus, dan mengakui kepada media bahawa kebanyakan penduduk  Iban di kawasan terbabit mula menerima dan memahami perjuangan  Pas.

Ketika bergerak di akar umbi, terutama  di rumah-rumah panjang  beliau sering menjelaskan bahawa Pas merupakan wadah yang betul-betul berkesan.

“Selama saya dengan Pas saya rasa betul-betul tenteram,” katanya  selepas diumumkan sebagai calon Pas bagi Dun Kakus oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini pada Rabu, seperti dipetik Astro Awani.

“Sebagai calon, kita mesti membawa isu bersama dengan hujah yang matang dan informasi yang tepat. Itu yang saya yakin pada pilihan raya kali ini,” katanya lagi.

Clement  pernah bertanding pada pilihan raya sebelum ini di Dun Kemena, tetapi tewas.

Tindakan Pas mengemukakan calon bukan Islam dianggap pemerhati politik, sebagai pendekatan strategik untuk melenturkan imej Islam dan ekstrem Islam Pas, apatah lagi bagi penganut Kristian, isu hudud merupakan isu yang sensitif.

Pas dianggap sebagai parti ekstremis, dengan ideologi perjuangannya tidak serasi dengan sosiobudaya masyarakat berbilang etnik di Sarawak, menurut penganalisis politik.

Justeru, jalan terbaik baginya adalah untuk memberi gambaran kepada 1.14 juta pengundi Sarawak bahawa parti itu sebenarnya adalah bersikap terbuka.

Pas masih lagi bergelut untuk memenangi sebarang kerusi sejak mencuba nasib dalam beberapa pilihan raya. Dalam pilihan raya 2011 Pas bertanding di lima kerusi, dan hampir menang di Dun Beting Maru. Mendapat dorongan daripada prestasi berkenaan, ia kini menyimpan impian untuk mendapatkan anak sulung daripada 11 kerusi yang ditandinginya.  

Meskipun menyedari bahawa beliau berdepan kesukaran disebabkan Kakus ialah kubu kuat BN, Clement dikatakan yakin menawan kerusi  yang untuk sekian lama digenggam BN.

Presiden  Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mengumumkan senarai nama calon berkata, pemilihan calon adalah berdasarkan maklum balas daripada akar umbi di Sarawak.

Tetapi dengan menampilkan calon bukan Islam, bukan jaminan bahawa Pas menang di kawasan terbabit. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru