Murid 7 tahun mati selepas buang air besar di Kabong

KABONG: Misteri menyelubungi kematian seorang kanak-kanak berusia 7 tahun semalam, apabila dia tiba-tiba pengsan selepas membuang air besar.

Zarith Kamal, 7 tahun, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh dekat sini bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke klinik kesihatan di sini petang semalam.

Menurut saksi, murid terbabit pada sebelah paginya hadir ke sekolah seperti biasa dan belajar dalam keadaan sihat.

Dia adalah anak sulung daripada tiga adik-beradik dan tinggal bersama-sama neneknya berikutan kedua-dua ibu bapanya bekerja di Perak.

“Pada jam 2 petang, mangsa turun semula ke sekolah untuk hadir kelas bimbingan al-quran dan fardu ain.

” Bagaimanapun, sewaktu di kelas tersebut, guru bertugas mendapati mata murid itu kemerah-merahan dan menyuruh mangsa balik ke rumahnya, yang terletak tidak jauh dari sekolah.

Ketika di rumah, mangsa kemudian mengadu sakit perut kepada neneknya.

Mangsa kemudian didapati pengsan sebaik selesai membuang air besar.

“Keluarga mangsa dan jiran kemudian mengejarkan mangsa menggunakan bot dari Kampung Paloh ke Klinik Kesihatan Kabong.

” Bagaimanapun, setibanya di klinik berkenaan sekitar jam 3 petang, mangsa sudah tidak bernyawa.

Punca sebenar kematian mangsa tidak diketahui.

Jenazah mangsa murid tersebut kemudian dibawa balik ke kediamannya di Paloh kira-kira jam 6.15 petang. – Sarawakvoice.com