Bukan selalu kita dapat menyaksikan debat di negara ini, lebih-lebih lagi antara pemimpin pembangkang dengan pemimpin Barisan Nasional. Namun, beberapa tahun lalu, kita pernah menyaksikan debat antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Shabery terpukul teruk dalam debat itu, disebabkan kekuatan hujah, dalil dan retorik Anwar. Pemimpin Umno itu, malah kelihatan menghadapi darah gemuruh, sebagaimana terbukti daripada air liurnya yang banyak terkeluar waktu sesi debat berkenaan, menandakan beliau tertekan dan “nervous’ menghadapi ketua pembangkang daripada PKR yang memang terkenal memiliki kemahiran berdebat yang begitu tinggi.

Tajuk debat ialah “Hari ini tubuh kerajaan, esok harga minyak turun” ketika rakyat dibebankan dengan harga minyak yang mencanak di pasaran.

Stesen TV juga pernah menyiarkan debat antara presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dengan Lim Guan Eng.  Debat walaupun dianggap bukan budaya di negara ini, tetapi bagi rakyat, debat sesuatu yang perlu digalakkan. Di negara yang mengamalkan demokrasi yang matang, seperti di Amerika Syarikat, debat sesuatu yang lumrah. Malah, wajib bagi mana-mana calon presiden untuk berdebat tentang pelbagai isu.

Debat merupakan kaedah formal dalam membentangkan hujah dengan cara yang berdisiplin dan teratur, menggunakan dalil dan retorik, serta menguji kelebihan kemahiran pengucapan awam seseorang pendebat. Bahasa badan dan bagaimana pendebat memanipulasikan suara untuk menimbulkan kesan jitu amat penting dalam menentukan kemenangan.

Dalam debat,  elemen ethos, logos, pathos dan retorik amat penting. Maksudnya, selain kredibilti pendebat, bagaimana dalil dan hujah dibentangkan, dengan keupayaan menyentuh emosi khalayak, turut ditentukan oleh penggunaan retorik dan bahasa.

Dengan kata lain, ketekalan dari segi logika, ketepatan fakta, dan penggunaan emosi yang berpatutan amat penting dalam debat. Kualiti debat diukur dari segi fakta dan kedalaman maklumat yang disampaikan.

Kini, kita tertunggu-tunggu untuk menyaksikan debat antara Datuk Abdul Rahman Dahlan, menteri dalam Kabinet Datuk Seri Najib Razak, dengan Ketua Menteri Pulau Pinang. Menteri Perumahan mencabar Lim Guan Eng untuk bersemuka dengannya di depan orang ramai bagi mengupas isu tanah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) di Taman Manggis, George Town.  

Beliau mendakwa tanah di situ telah dijual semula secara tidak langsung, melalui pegangan saham syarikat, tetapi Lim menafikannya, dengan menyatakan bahawa dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak menunjukkan sedemikian.

Kini kedua-dua ahli politik itu saling menyerang di Twitter. Abdul Rahman yang ketika ini berada di luar negara, hanya akan kembali ke Malaysia pada 15 April. Maksudnya, debat yang bakal disiarkan melalui TV 1 itu, terpaksa ditangguhkan untuk sementara.

Mereka kini saling menyakat melalui Twitter.

Kata Lim dalam TwitternyaHuhApa ini? Debate hilang stimlah. I had earlier cut short my overseas trip to China 2 face u in Parliament (Huh… What’s this? The debate has lost its steam. I had earlier cut short my overseas trip to China to face you in Parliament.” Untuk itu, dengan sinis Abdul Rahman memperli Lim.

You nak stim? Up to you! Since you nak stim sangat, I gv u a heads up. I will give you my questions in advance so you can prepare yourself (If you want to get excited, it’s up to you! Since you want to get so excited, I’ll give you a head’s up. I will give you my questions in advance so you can prepare yourself),” tangkis Abdul Rahman pula.

Dalam tweet lain pemimpin berasal dari Sabah itu menyakat; “Hmmmm… Saya baru diberitahu kononnya pihak sebelah sana tidak mahu isu banglo Puan Phang dimasukkan dalam perdebatan. Apa pandangan anda?.”

Sejak beberapa minggu ini, Lim terjebak dalam isu membabitkan pembelian banglo RM2.8 juta yang dikatakan jauh di bawah nilai pasaran.

Rakyat sudah tidak sabar lagi untuk menyaksikan debat berkenaan. Sesuatu debat diukur dari segi  kekuatan dalil, fakta, dan maklumat. Mereka yang mempunyai kekuatan fakta, dan ini bergantung kepada sumber, akan menentukan pihak yang menang.

Siapakah yang berbohong? BN atau pembangkang? Kini, kedua-dua pihak kelihatannya, bersedia untuk bersemuka, sekali gus dinilai oleh 31 juta rakyat.

Selain dalil, atau bagaimana fakta dikemukakan oleh kedua-dua pendebat, aspek lain yang diberikan perhatian adalah sejauh mana fakta lawan ditangkis oleh pendebat. Kegagalan menangkis fakta melalui wacana tandingan akan menyebabkan kredibilti pendebat terbabit terpukul teruk.

Sebaliknya, jika pendebat mampu menangkis dan menyerang balik dengan hujah yang pejal, tentu ini akan mengukuhkan kedudukannya. Serangan balas bertubi-tubi, dengan dalil dan fakta sahih dan tidak diselewengkan, akan melantunkan kedudukannya.

Bagaimanapun, bukan kekuatan hujah sahaja yang penting dalam debat. Bagaimana fakta, maklumat dan data, dibentangkan turut memainkan peranan. Hal ini membabitkan penggunaan teknik retorik dan bahasa.

Sekuat mana pun fakta dan bukti, termasuk testimoni, statisitik, contoh, dan anekdot digunakan, jika tidak disampaikan dengan gaya bahasa dan retorik yang berkesan, seperti triad, soalan retorik, pararalisme, anafora, perulangan dan seumpamanya lagi, ia tidak akan mendatangkan kesan yang memikat dan meyakinkan kepada khalayak.

Kita menunggu debat yang penuh bertanggungjawab dan profesional antara kedua-dua pemimpin berkenaan. Debat ialah jalan terbaik untuk rakyat menilai siapa yang bercakap benar, dan siapa pula yang berbohong dalam isu berkenaan.

Demokrasi yang matang perlu membuka ruang untuk berdebat. Secara tidak langsung, dapat mengingatkan pemimpin politik supaya bertanggungjawab ketika menjalankan amanah rakyat. 

Kes ini perlu dibawa ke meja debat, dan hakimnya nanti ialah para penonton. – Sarawakvoice.com