KUCHING: DAP mempunyai nafsu besar untuk menambah kerusi daripada 12 sekarang kepada 22 dalam pilihan raya ini.

Menyedari pencapaiannya di bandar sudah mencapai takah tepu, DAP mengambil langkah keluar dari sempadan kerusi majoriti Cina, dengan berusaha menembusi kerusi bumiputera di  kawasan separa bandar dan luar bandar. Lantas, ia melancarkan program Impian Sarawak.

Namun, usaha menyalurkan segala sumber, termasuk tenaga, wang ringgit dan masa di kawasan terbabit sebenarnya ialah sia-sia kerana pengundi luar bandar dan pedalaman masih setia kepada BN.

Tetapi, cukupkah semua itu, ketika sentimen pengundi Cina dikatakan mulai mesra terhadap kepemimpinan Ketua Menteri?

Keyakinan DAP untuk menambahkan jumlah kerusi bukannya tanpa justifikasi. Dengan pergolakan dalaman antara SUPP dengan UPP dalam isu paling asas, isu pengagihan kerusi dan pencalonan, DAP melihat itu merupakan kesempatan terbaik bagi mereka untuk merebut peluang.

Apatah lagi, menurut kajian beberapa penyelidik, dalam keadaan terdapat pertandingan tiga penjuru atau unsur sabotaj, yang bakal meraih untung ialah parti pimpinan Chong Chieng Jen.

Dalam pilihan raya lalu, DAP menumbangkan SUPP dalam satu pencapaian yang dramatik dan bersejarah. Daripada enam kerusi pada 2006, DAP mengukuhkan kedudukannya seratus peratus, menjadi 12. Suara pembangkang semakin lantang dan nyaring di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Terbaik pencapaian pembangkang adalah pada 1987 apabila Kumpulan Maju pimpinan mantan Ketua Menteri Tun Abdul Rahman Yakub menguasai 20 daripada 48 kerusi selepas tercetusnya peristiwa Ming Court yang menyaksikan Ketua Menteri ketika itu,  Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud, mengadakan pilihan raya mengejut.

Pada pilihan raya 2013, undi Cina terhadap BN menjunam sebanyak 12 peratus berbanding pada pilihan raya negeri 2011. Ia hanya mencecah 37 peratus, terburuk dalam sejarah pilihan raya Sarawak.

Kali ini adakah peratusan itu mengukuh? Yang pasti ia tidak mungkin merosot.

Memang, DAP tidak mungkin akan mengalami zaman gelap seperti sebelum 2006. Seteruk-teruk pun ia mungkin kehilangan tiga empat kerusi, termasuk Batu Kawa dan Repok.

Pada waktu yang sama, jika perkelahian dan perbalahan SUPP-UPP bertambah buruk pada tempoh kempen nanti, yang dijangka sekitar 13 hari, sebenarnya harapan untuk DAP menambah satu dua kerusi adalah cerah.

Disebabkan prinsip ‘bebas’ dari segi kewangan, ekonomi dan pekerjaan, serta rasa sebal terhadap kerajaan kerana persepsi layanan tidak adil, Cina akan terus tidak menyingkirkan DAP.  

Bagi pengundi Cina, soal pendidikan, ekonomi dan peluang kerja, penting. Mereka juga mahu memastikan bahawa BN tidak diberi kuasa yang berlebihan. Mereka telah menyaksikan apa yang berlaku pada zaman Tun Abdul Taib Mahmud ketika kuasa BN begitu kuat.

Justeru, mereka mahu terus memastikan DAP diberi peluang untuk memainkan peranan semak dan imbang di Dun Sarawak. Mereka mahu pemimpin muda DAP di bawah kepemimpinan Chong, terus menyalak dan menjadi anjing pengongong untuk memantau perlakuan Adenan dan pasukannya.

Berdasarkan dapatan kajian oleh badan penyelidik bebas, Merdeka Center Rabu, 41 peratus daripada pengundi Cina berkata, Sarawak berada di atas landasan betul di bawah kepemimpinan Tan Sri Adenan Satem, berbanding purata keseluruhan 55 peratus.

Pasukan Adenan mati-matian mahu memastikan akan mendapat balik  sekurang-kurangnya dua kerusi bandar daripada DAP. Sesungguhnya, ujian dan penanda aras utama bagi beliau bukannya memenangi dua per tiga kerusi daripada 82 kerusi keseluruhannya.

Ujian utama adalah dapatkah beliau merampas kembali kerusi majoriti Cina daripada DAP? Kalau tidak, bermakna, beliau sebenarnya gagal dalam misinya.

Namun, adakah semua itu bakal dijelmakan dalam bentuk undi? – Sarawakvoice.com