Monday, January 24, 2022

Adenan cuba dipikat dua gadis jelita

Secara Rawak

KUCHING: Tan Sri Adenan Satem umpama seorang lelaki yang tampan dan bergaya, mahu ditawan hatinya oleh dua gadis jelita. Oh, maaf, yang saya maksudkan bukan gadis jelita kerana yang satu sudah berusia sekitar 57 tahun, tetapi yang satu masih lagi kanak-kanak berusia dua tahun.

Saya merujuk kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Kedua-dua parti itu cuba menambat hati  Ketua Menteri, dengan pelbagai strategi dan pendekatan.

Bagi SUPP, ia kini berada dalam keadaan amat tertekan kerana parti tertua Sarawak itu tidak mahu kehilangan kerusi. Secara tradisi, SUPP bertanding di 19 kerusi seperti yang berlaku pada 2011. Tetapi ia kehilangan 13 kerusi majoriti Cina di bandar dalam pilihan raya ke-10 itu.

Disebabkan pergolakan dalaman, empat orang pemimpinnya keluar SUPP, lalu menyertai Teras, untuk kemudiannya menyedari bahawa Teras tidak sesuai dijadikan platform. Wong Soon Koh tidak mahu menjadi timbalan William Mawan Ikom. Pemimpin Cina dari Sibu itu mahu menjadi bos, lalu mewujudkan UPP. UPP disokong oleh banyak tauke.

Bagi SUPP, kehilangan kerusi kepada UPP merupakan satu pukulan terhadap dignitinya. Bagi pemimpin Cina, air muka begitu berharga, dan perlu dijaga dengan apa-apa cara. Mana air muka kalau sudah kena pukul dan diinjak-injak?

Tengok bagaimana ekspresi wajah presidennya Datuk Dr. Sim Hui Hian Khamis lalu ketika Ketua Menteri mengumumkan 10 kerusi yang bakal ditandinginya. Ketika itu, Dr. Sim fikir, SUPP bakal kehilangan banyak kerusi, kerana Adenan akan menyerahkannya kepada musuh politiknya.

Memang begitu dramatik untuk kedua-dua parti itu dalam beberapa hari akan datang. Penuh dengan saspens dan teka-teki. Siapa mendapat apa, di mana, dan apa kesannya?

Ketika bertemu dengan warga Kumpulan KTS yang dikaitkan dengan UPP di Sibu semalam, Adenan berterus terang, betapa beliau begitu gembira mendapat sambutan hangat. Di majlis yang didakwa dihadiri 8,000 orang itu, Adenan memberi bayangan bahawa parti termuda Sarawak itu bakal mendapat lagi kerusi.

Untuk ketika ini, Mambong telah diserahkan kepada calon langsung dari UPP Datuk Dr. Jerip Susil, satu berita sedih yang menghiris ke dalam lubuk hati pemimpin SUPP, terutama bakal calonnya Ahkim Sarok.

“Akan ada beberapa kerusi lagi bagi UPP, yang akan diumumkan pada waktu sesuai,” kata pengerusi BN di hadapan wartawan pada sesi sidang media di Sibu, semalam.

“Satu memang bagus, tetapi ia pasti tidak memadai. Masa akan tiba apabila saya bakal umumkan calon…saya fikir tidak ada sesiapa pun yang gembira hanya dengan satu kerusi,” tambah Adenan.

Ya, memang tidak ada orang yang gembira hanya dengan satu kerusi.

Tetapi pada waktu yang sama, tidak akan ada yang gembira jika kerusi itu dirampas atau diambil dari SUPP.

Inilah hakikatnya, akan berlaku semacam tarik tali antara SUPP dan UPP. Kedua-duanya bagai anak dara yang mahu menambat hati Adenan. Siapa yang paling sesuai dijadikan pasangan untuk menyertai pasukan Adenan?

Kedua-duanya kini tidak dapat tidur malam dengan lena, memikirkan nasib yang bakal menimpa. Adenan tidak mungkin dapat menggembirakan kedua-duanya.

Satu pasti akan gembira, dan satu pasti akan merana.

Kata pemutus adalah di tangan Adenan sebagai lelaki, dan sebagai ketua, dan bukannya di tangan si anak dara. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru