Tuesday, June 28, 2022

Politik bermuka-muka, sokongan tidak  tulen jadi api dalam sekam BN

Secara Rawak

Ketika Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem datang ke suatu majlis majlis bersama rakyat kelihatan ribuan rakyat yang hadir hingga dikatakan mencecah 10 ribu penyokong.

Ketua Menteri  seakan-akan kagum dengan  sokongan yang diberikan oleh pengundi kawasan tersebut. Lalu beliau bertanya secara spontan, “Siapakah pengundi kawasan ini, sila angkat tangan!”

Suasana senyap. Tidak ramai  yang  berani berdiri.

Selepas  ditanya lagi oleh Ketua Menteri Sarawak,  “Siapa pengundi di kawasan ini?” Didapati hanya sekelompok kecil sahaja berdiri.

Kemudian Ketua Menteri Sarawak terus bertanya dengan langsung dan  tegas.

“Siapa mahu pilih calon  ini?” Calon yang dimaksudkan  tersebut ialah calon penyandang dan kini  membentuk parti serpihan yang mendakwa parti mesra BN.

Didapati hanya sekitar 30-35 peratus sahaja berdiri tanda bersetuju.  

Lagu Biar Luka dalam Dada

Wajah Adenan sedikit kelat, selepas mendapat respons spontan tersebut. Namun ternyata ungkapan ‘wise man say only fools rush in’ daripada lirik lagu Elvis Presley sentiasa membijaksanakannya agar tidak terpedaya dengan segala helah politik licik.

Selepas itu, lagu Saloma pun berkumandang  dan dinyanyikan oleh Adenan.

Lirik lagu tersebut seolah-olah memancarkan kekecewaannya terhadap jumlah kehadiran bukanlah sangat terdiri daripada pengundi sebenar.  Sebaliknya, pengundi di kawasan lain diangkut beramai-ramai dengan bas disediakan.

Apakah  Adenan kecewa dengan situasi tersebut?  Adakah beliau terluka dan terasa derita jiwa  dengan orang politik? Dalam majlis tersebut  Adenan meneruskan majlis dengan menghiburkan khalayak dengan lagu tersebut.

Biar luka dalam dada/Biar derita jiwa tersiksa/Apa guna kata mesra/Menambah luka di dalam dada/Biarlah aku pergi/Tak usah kau cari lagi/Rela aku berkelana/Dengan hatiku yang hancur luka.

Pancaran reaksi spontan

Sekiranya lagu didendangkan Adenan  memancarkan kekecewaannya, adakah Adenan akan pergi dan tidak percaya lagi akan helah politik, lalu memutuskan sendiri  calon langsung?

Adenan bukanlah  budak hingusan yang mudah dipermainkan, apatah lagi dalam hal ehwal politik.  Beliau  adalah anak didik Tun Taib yang paling kehadapan dalam soal strategis dan helah politik.

Bukan Perkara Terpencil

Menurut  beberapa saksi mata,  tindakan menunjukkan jumlah penyokong  yang tidak tulen, iaitu bukan pengundi setempat bukanlah  berlaku di satu tempat, akan tetapi di merata-rata tempat.

Hal ini berlaku apabila Adenan menyatakan antara ciri pemilihan sebagai calon ialah ukuran dari segi populariti.

Namun ukuran populariti boleh dimanipulasikan dengan pelbagai cara  dan kadangkala melucukan.

Bayangkanlah, terdapat kehadiran  menyambut Adenan  di kawasan yang  berebut populariti didapati  lebih  ramai daripada pengundi yang sedia ada.

Ini bukanlah strategi ‘mengharungi lautan dengan mengelirukan langit’ oleh Sun Tzu. Sebaliknya hanya cuba memperdayakan diri sendiri dan boleh meranapkan BN Sarawak.

Tentunya ia agak melucukan. Selebihnya membawa persoalan besar. Mampukah politik bermuka-muka dan sokongan tidak tulen ini  dihapuskan segera sebelum menjadi wabak dan barah BN Sarawak?

Apakah  strategi Adenan  berhadapan situasi yang semakin genting ini? Tentunya, berdasarkan pengalaman  luas  Adenan sebagai troubleshooter khusus pada era ‘pemberontakan’ Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS)  dan peristiwa Ming Court akan ada jalan pasti.

Bak kata-kata popular Adenan, “Jangan main-main dengan saya. Saya mahu tanamkan  rasa takut  kepada Tuhan dan  hormat kepada peraturan!”.

Kita tunggu!!! – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru