KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) harus menjadi pengajaran kepada kerajaan.

Beliau berkata kerajaan memerlukan pengurus yang profesional, kompeten dan berpengalaman apabila menguruskan wang pembayar cukai.

“Telah banyak kali kita menyaksikan kerugian akibat kelemahan keputusan. Untuk mendepani cabaran, kita perlu menyerahkan tugas itu kepada orang yang berkelayakan. Dan ini harus menjadi strategi yang diamalkan,” kata beliau menerusi catatan dalam blog terbaharunya (sskeruak.blogspot.my) di sini, Khamis malam.

Hari ini, siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB mendapati struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat pelaburan itu “kurang memuaskan” menyebabkan kelemahan tadbir urus korporat.

Bagaimanapun, dalam Laporan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, PAC berkata kerajaan telah mengambil langkah segera untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat pelaburan strategik itu yang timbul pada November 2014.

Salleh berkata PAC tidak berkhidmat dengan kerajaan tetapi ia mewakili Parlimen dan anggotanya terdiri daripada kerajaan dan pembangkang.

Beliau menjelaskan laporan itu tidak boleh dikeluarkan kecuali terdapat konsenses daripada semua anggota PAC dengan sebulat suara mencapai kesepakatan bahawa dapatan laporan itu adalah faktual dan tidak boleh dipersoalkan.

Sementara itu, beliau berkata tidak ada bukti mengenai apa-apa aktiviti jenayah, wang RM42 bilion wang 1MDB tidak hilang dan RM2.6 bilion daripada wang 1MDB tidak dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa yang disebut hanyalah dakwaan pengurusan yang tidak cekap dan andaian bahawa pasti Perdana Menteri sedar tentang perkara ini, dan walaupun jika tidak sedar, beliau juga harus bertanggungjawab,” katanya.

Salleh berkata memikul bertanggungjawab bagi pengurusan yang tidak cekap atau kelemahan keputusan perniagaan adalah jauh menyimpang daripada dakwaan mencuri berbilion-bilion wang pembayar cukai untuk kegunaan peribadi.

“Perwaja, Proton, kerugian Forex RM30 bilion, Maminco, dan banyak lagi, semuanya ialah kes sama ada kelemahan pengurusan atau keputusan perniagaan yang tidak bijak. Tetapi tiada siapa yang diminta dipenjarakan kerana mencuri melibatkan wang pembayar cukai wang,” katanya.

Beliau berkata Najib telah “dibicarakan” dalam media dan disabitkan oleh mahkamah pendapat umum.

Salleh berkata di bawah Najib, perbahasan dan kebebasan bersuara dibenarkan dengan lebih meluas daripada masa lalu dan meminta rakyat Malaysia membezakan antara kebebasan bersuara dan fitnah. – Bernama