Politik katak: Dr. Jerip, calon langsung BN, mungkinkah melompat lagi?

SERIAN: Selepas nama Datuk Dr. Jerip Susil diumumkan sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dalam satu majlis di sini, dua hari lalu, pengundi bertanya, mungkinkah calon Dewan Undangan Negeri ( Dun) Mambong itu akan melompat sekali lagi ke parti lain?

Soalan ini, bagi pemerhati politik yang menjejaki sejarah politik Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak itu, memang wajar mengingat bahawa menjadi tabiat beliau untuk sering melompat parti dalam tempoh sekitar 20 tahun lalu.

Dr. Jerip dianggap pemimpin politik yang tidak setia pada parti dan tidak mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dan tegas.

Buktinya, beliau telah lima kali melompat parti. Mula-mula beliau bertanding  sebagai calon Bebas, menentang William Tanyu (SUPP) dalam PRN pada 1995, tetapi tewas dalam pilihan raya negeri berkenaan.

Mantan  doktor perubatan itu tidak patah semangat dan mencuba nasib, dengan bertanding atas tiket  Sarawak Reform Party (Star) pimpinan  Datuk Dr. Patau Rubis pada Pilihan Raya Parlimen pada 1998, melawan James Dawos Mamit, calon langsung BN, dan sekali lagi beliau kecundang.

Kemudian,  Dr. Jerip keluar daripada Star, dan menyertai SUPP pula, langsung bertanding atas tiket parti tertua Sarawak itu dalam pilihan raya 2001.

Nasib menyebelahi katak politik itu apabila berjaya menumbangkan  tiga calon Bebas. Seterusnya, dengan menggunakan tiket yang sama, calon yang berasal dari Kampung Karu, Penrissen daripada keturunan Bidayuh Biperoh itu, bertanding dalam pilihan raya  negeri 2006, dan menewaskan Dr. Patau Rubis, pemimpin yang pernah menjadi ketuanya dalam Star. Patau tewas dalam pilihan raya yang dianggap sengit itu.

Akhir sekali, pada 2011, Dr. Jerip bertanding menentang Willie Mongin, calon PKR di Dun Bengoh, dan beliau bernasib baik kerana memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,646 undi.

Dr. Jerip meraih 8,093 undi (54.6%), manakala Willie Mongin mendapat 4,447 undi (30%). Calon Bebas Wejok Tomik mendapat 1,007 undi (6.8%). Jumlah pengundi berdaftar adalah 21,955, dengan peratusan turun mengundi sebanyak 67.6 peratus.

Namun, hari tidak selalu indah bagi Dr Jerip. Pergolakan dan konflik yang berlaku dalam kepemimpinan SUPP menyaksikan enam orang keluar dari SUPP, untuk  menyertai Teras. Namun, tempoh berbulan madu dengan Teras tidak lama, kerana Datuk Wong Soon Koh yang menjadi timbalan presiden parti baharu itu tidak sehaluan dengan Tan Sri Wiliam Mawam Ikom, yang juga beberapa kali bertukar parti.

Dr. Jerip yang setia kepada Wong Soon Koh, turut melompat dari Teras ke parti baharu, iaitu  Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang diterajui Wong.  Difahamkan parti baharu Cina ini didukung oleh  “Big 10” yang kebanyakannya dianggotai Cina Foochow Sibu, berbanding SUPP yang kini tidak dianggap sebagai parti tauke.

Berdasarkan perkembangan politiknya, Dr. Jerip telah melompat sebanyak lima kali. Pengundi mulai tertanya-tanya adakah, beliau akan terus setia kepada UPP dan Wong Soon Koh, lebih-lebih lagi hayat politik ketuanya itu hampir berada di hujung jalan, selepas  pilihan raya nanti?

UPP parti serpihan yang dibelit pelbagai isu, tidak sehaluan dengan  parti serpihan  asal SUPP. Bermula dari situlah, berlaku ketegangan hubungan antara kedua-dua parti berkenaan apabila mereka saling menyerang dan memburukkan masing-masing sepanjang lebih dua tahun lalu.

SUPP, bagaimanapun, bertekad, tidak akan berganjak walau seinci pun daripada pendirian berkaitan agihan kerusi.

Pemerhati dan pengamat politik banyak memberi komen  mengenai Dr. Jerip dalam Facebook Election Talk 2016. Laman Facebook ini biasanya melontarkan komen daripada kalangan wartawan berpengalaman, ahli politik, aktivis NGO, dan peminat tegar politik daripada pelbagai kaum di Sarawak.

Laman ini didapati segar dengan kritikan dan komen yang bernas dan relevan.

Laman yang mengupas isu politik dan pilihan raya Sarawak itu berkata, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika Dr. Jerip akan melompat lagi demi survival politiknya.

Seorang pemerhati berkata, Dr. Jerip lebih teruk daripada Datuk Ibrahim Ali Presiden Perkasa yang pernah bertanding atas tiket Umno, sebelum  bertanding atas tiket Pas, dan seterusnya bertanding sebagai calon Bebas.

Berkaitan dengan pengumuman nama beliau sebagai calon langsung, ada daripada ulasan berkata, mengapa Adenan memberi keistimewaan kepada Dr. Jerip, sedangkan beliau sepatutnya bersabar untuk mengumumkan senarai lengkap calon langsung, hanya dalam beberapa jam sahaja lagi untuk menunggu. Adenan mengumumkan nama mereka dalam sidang media di pejabat beliau, di Kuching, petang semalam.

Hal ini memberi isyarat yang salah seolah-olah calon langsung UPP mempunyai kelebihan dan keistimewaan.

Yang jelas, tindakan memberi kerusi Mambong kepada  calon langsung yang ada kaitan dengan UPP dan  mempunyai sejarah lompat-melompat parti, pasti tidak disenangi bukan sahaja dalam kalangan pemimpin dan ahli SUPP, tetapi juga sekitar 16,000 pengundi di kerusi berkenaan.

Menurut risikan akar umbi, Dr. Jerip pasti ditentang Willie Mongin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Sanjan Daik dari DAP. Namun, tentangan sebenar dikatakan datang daripada Willie yang mungkin mendapat simpati daripada penyokong setia SUPP.

Tambahan pula, Willie, mengikut jejakan SarawakVoice, telah bergerak di akar umbi sejak 2011 lagi setelah tewas di tangan Dr. Jerip, musuh politik, yang juga bapa saudaranya itu.

Willie dianggap oleh masyarakat Bidayuh sebagai memiliki sentuhan kerakyatan yang mendalam, dengan sering dilihat berada dalam kalangan keluarga yang kematian saudara-mara, menghadiri majlis perkahwinan dan keraian, serta dianggap mudah didekati, serta tidak sombong.

Namun, dengan segala kelebihan berada di tangan Dr. Jerip sebagai calon langsung, dipercayai bahawa peluang beliau untuk menang masih ada , walaupun mungkin dengan majoriti yang  berkurangan, berbanding 2011.- Sarawakvoice.com