KUCHING: Seorang wartawan penyiaran sebuah stesen tv tempatan yang tiba awal di Pejabat Ketua Menteri Sarawak semalam terserempak dengan Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP), Datuk Seri Wong Soon Koh yang kebetulan sedang melangkah keluar dari pejabat Tan Sri Adenan Satem di tingkat 22 Wisma Bapa Malaysia. Wajahnya muram. Kusam.

Gelora hatinya pasti berasbab kerana selang dua jam selepas itu, Adenan melangkah masuk dengan tenang ke dalam dewan mesyuarat di seberang pejabatnya untuk mengumumkan 10 nama calon yang akan mewakili Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Sepuluh nama yang diumumkan bermaksud ada sepuluh atau sembilan nama lagi yang tidak disenarai.

Ironinya, ketika sidang media pengumuman itu, Presiden SUPP, Datuk Dr. Sim Kui Hian juga kurang ceria. Wajah menggambarkan kegalauan hatinya.

Pastinya berlaku “tarik tali” yang tegang di antara Adenan dan kedua-dua pemimpin parti ini sebelum pengumuman semalam dilakukan.

Adenan adalah Adenan. Beliau penuh dengan karakter yang pelbagai. Tetapi sekali beliau bersuara kepada anak-anak yang nakal, intonasi tegasnya pasti menggerunkan.

Pada pengumuman tersebut, Adenan selaku Pengerusi BN Sarawak memberi “tiket bertuah” kepada Peter Pau untuk mengibar bendera BN di Dun Padungan, Milton Foo Tiang Wee (Pending), Sih Hua Tong (Batu Lintang), Wilfred Yap Yau Shin (Kota Sentosa), Lo Khere Chiang (Batu Kitang), Datuk Dr. Sim Khui Hian (Batu Kawa), Datuk Francis Harden (Simanggang), Chieng Buong Toon (Bukit Assek), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew (Piasau) dan penyandang kerusi Senadin, Datuk Lee Kim Shin.

Kerusi Dun yang tradisinya milik SUPP tetapi tidak diumumkan termasuklah Opar, Engkilili, Bawang Assan, Dudong, Pelawan, Pujut, Meradong, Repok dan Tanjong Batu (setelah ditukar daripada nama asalnya, Dun Kidurong).

Adenan sebelum ini turut mengumumkan Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr. Jerip Susil, daripada UPP untuk mempertahankan kerusi Dun Mambong yang sebelum ini dikenali sebagai Dun Bengoh, sebagai ‘calon langsung BN’.

Malah sebelum ini beliau turut mengumumkan calon langsung BN bakal beraksi di Dun Dudong, dan Dun Bawang Assan. Untuk rekod, Soon Koh merupakan Adun Bawang Assan selama lima penggal.

Justeru pastinya dengan defisit kerusi yang melanda SUPP — termasuk misteri kehilangan Pujut — Soon Koh menabur sedikit benih harapan.

Katanya kepada media sejurus pengumuman Adenan: ” Baki kerusi Dun Sarawak yang sebelum ini ditandingi SUPP wajar diisi calon Parti UPP.

“UPP harus diberikan peluang memandangkan 10 kerusi Dun telah diberikan kepada SUPP.

“Kami andaikan demikian dan berharap begitulah,” katanya.

Begitu keruh dan begitu gemuruh perasan kedua-dua pemimpin parti kaum Cina itu. Tetapi mereka harus menerima hakikat tersebut apabila membuat keputusan untuk berpisah sebelum ini.

Yang menariknya, Adenan melihat dari kaca mata lain dan kedua-dua parti ini melihat dari kaca mata dan ego yang lain. Mereka lupa bahawa “tukul pemutus” ada di tangan Adenan. Beliau boleh sahaja mengumumkan calon mana dari parti mana untuk menyarung jersi BN dalam saingan kali ini.

Yang jelas, Adenan cuba membuat yang terbaik untuk semua pihak. Benar, beliau berusaha menarik lembut rambut dari tepung tetapi pada masa yang sama, rambut tersebut perlu cukup sihat dan kuat, kerana jika dipintal ia harus kukuh di kepala tuannya.

Jika ada yang perlu dipersalah untuk isu ini, ia harus kepada kedua-dua pemimpin itu. Oh ya, ada pemerhati politik semalam menyifatkan ia adalah keputusan bijak setelah dua-dua pihak degil dan enggan mengalah apabila diminta berkompromi.

Jadi apabila degil ini sukar diubat, Adenan terpaksa melakukan tindakan yang pada pandangannya saksama, biarpun perit bagi yang lain.

Kepada SUPP yang telah diberikan peluru perang, sejauh manakah kemampuan mereka. Maaf, nampaknya banyak pihak masih berasa skeptikal mereka akan membina kejayaan pada kali ini. – Sarawakvoice.com