Friday, September 30, 2022

Fazzruddin tangkis 20 dalil, sifatkan politik kotor dan strategi jahat, halang jadi calon Tupong

Secara Rawak

KUCHING: “Saya percaya ini semua politik kotor dan strategi jahat pembangkang.

“Ia adalah permainan politik yang bukan sahaja hendak menjatuhkan, malah memberi gambaran yang saya adalah seorang yang jahat,” kata Fazzruddin Abdul Rahman, 41, calon BN-PBB bagi kawasan Tupong dalam pilihan raya negeri akan datang.

Fazzrudin yang juga Ketua Penerangan Pemuda PBB Negeri berkata, dia sedar akan hebahan dalil tersebut sejak beberapa waktu lalu selepas namanya diumumkan oleh Pengerusi BN Negeri, Tan Sri Adenan Satem.

“Tetapi saya percaya, para pemilih di kawasan ini adalah kalangan mereka yang bijak serta tidak akan mudah terpengaruh dengan fitnah seperti ini,” katanya kepada sarawakvoice.com.

Kata Fazzruddin, pemilikan stesen minyak Petronas seperti yang didakwa penulis dalil itu kerana pengaruhnya dalam politik adalah pembohongan yang paling jelas.

“Stesen tersebut adalah milik keluarga isteri saya sejak tahun 1994. Kemudian ia dipindahmilikkan kepada isteri saya oleh keluarganya bagi meneruskan perniagaan tersebut. Ia tidak ada kaitan dengan kerjaya politik saya,” jelasnya.

Berkaitan pemilikan kereta mewah termasuk di Kuala Lumpur, Fazzruddin berkata, kereta itu dibeli dengan harga RM38 ribu.

“Kereta itu, walau murah sebenarnya, amat berjasa kepada rakan-rakan dari Sarawak ini, terutama dalam membawa anak anak mereka ke hospital dan juga ke IPT dan IPTS di Kuala Lumpur,” tambahnya.

Menjawab tuduhan sebagai ejen UMNO, Fazzrudin mengakui beliau memang ada duduk dan bergambar dengan rakan-rakan dari parti itu.

“Tuntutan tugas saya sebagai Pegawai Khas Ahli Parlimen, Setiausaha Sulit dan kemudian Setiausaha Politik untuk bersama-sama dengan pelbagai rakan daripada parti komponen dalam pelbagai program.

“Bukan UMNO sahaja, tetapi saya juga akrab dengan rakan-rakan parti komponen lain baik di Semenanjung mahupun Sabah.

“Kami selalu bersama dan tidak bermakna saya dipengaruhi untuk membawa UMNO ke sini,” tegasnya.

Fazzrudin berkata, isu UMNO ini menjadi modal lapuk pembangkang kerana tuduhan serupa pernah dilemparkan kepada Datuk Amar Abang Johari (Tun Openg) dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Kami tidak melayan tuduhan yang tidak berasas seperti ini,” katanya tenang.

Bagi Fazzruddin, sebagai calon BN di kubu kuat parti itu di Kuching, menjadi tanggungjawabnya untuk memberi sepenuh perhatian kepada kawasan dan fokus untuk melakukan yang terbaik kepada rakyat.

“Usaha menjatuhkan saya melalui fitnah seperti ini hanya akan memperlahankan usaha saya, apabila dilayan. Ia adalah asam garam dalam politik,” katanya.

Dewan Undangan Negeri kawasan Tupong mempunyai 21,524 pemilih berdaftar, sedikit mengecil selepas persempadanan semula Dun Sarawak.

Pada pilihan raya negeri 2011, kerusi Dun  Tupong telah dimenangi Datuk Ir Daud Abdul Rahman dengan majoriti 4,551 undi, setelah mengutip 8,304 undi bagi menewaskan Baharuddin @ Din Shah Mokhsen daripada PKR yang mencatat 3,753 undi.

Pada penghujung tahun lalu, Daud mengalami stroke ringan, yang menyebabkan pertuturannya sedikit terganggu.

Pada tahun 1997, Buku “50 Dalil Kenapa Anwar Tak Boleh Jadi PM” ditulis oleh penulis upahan Khalid Jaffri dalam usaha yang dikatakan untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

Buku tersebut kemudian diedar secara meluas semasa Perhimpunan Agung UMNO 1997 ketika Anwar hendak merasmikan persidangan pemuda dan wanita UMNO.

Strategi itu berjaya menjatuhkan Anwar tetapi beliau kemudiannya menang saman sebanyak RM4.5 juta terhadap penulis dan penerbitnya.

Kaedah yang sama digunakan oleh penulis misteri 20 Dalil Fazzruddin ini, cuma edarannya adalah menggunakan kaedah kongsian blog selamatkansarawak.wordpress.com. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru