Culas enggan undur diri punca Wahab Aziz ditentang di Kalaka

0
2156

SARATOK: Ibarat air tenang jangan disangka tidak ada buaya,  kawasan  Dewan Undangan Negeri (Dun) N.38 Kalaka yang pada mata kasar agak ‘sejuk dan aman’, tetapi cerita politik di kawasan  tersebut tidak  kurang hebatnya.

Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 turut menghangatkan dan mengocakkan naluri pengundi kawasan Saratok.

Penduduk di Dun berkenaan ketika ditemui hari ini menjelaskan bahawa pengundi di situ telah lama memasang  harapan untuk melihat calon baharu diketengahkan dalam pilihan raya kali ini.

Menurut mereka, Dun Kalaka juga memerlukan pembaharuan dan calon baharu juga perlu diberi peluang  untuk mewakili mereka.

Selain nama penyandang kerusi iaitu, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz, turut disebut-sebut penduduk adalah  dua nama yang turut berpotensi untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

Individu yang dimaksudkan ialah Haji Mohammad Duri, seorang usahawan yang berjaya dan Ghani Tahir juga seorang usahawan berjaya di kawasan berkenaan.

Kedua-dua nama itu agak hebat diperkatakan penduduk untuk memikul tanggungjawab di kawasan itu.

Sebelum ini kedua-dua individu itu kerap bersama penyandang kerusi kerana diberi harapan akan diketengahkan sebagai calon dalam PRN Ke-11. Namun, sehingga ke saat ini nama-nama berkenaan semakin sayup dan samar daripada  skrin calon cadangan.

Setakat ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) , Dayak National Party (DNP), adalah antara yang akan mencabar di kawasan Kalaka.

Lebih menarik  turut diperkatakan beberapa pihak dan pemerhati politik di kawasan itu,  ada kelompok tertentu  kini berkira-kira untuk memasang calon Bebas sekiranya  nama Wahab Aziz diumumkan sebagai calon.

Segalanya sebagai tanda protes atas dasar kecewa dengan janji Wahab yang menyatakan akan berundur dan memberi ruang untuk calon yang diperkenalkannya selama ini.

Namun, pihak terlibat masih belum menyebut tentang individu yang bakal diberi tugas besar itu.

Dun Kalaka pada awalnya mempunyai 17,000 pengundi. Bagaimanapun, dengan kewujudan kerusi baharu,  N.40 Kabong,  Kalaka kini hanya mempunyai lebih 8,000 pengundi, berbanding Kabong lebih  9,000 pengundi.

Untuk Parlimen P.205 Saratok mempunyai 28,175 pemilih. Asalnya dua kawasan pilihan raya negeri: Kalaka (majoriti Bumiputera Islam) dan Kerian (majoriti Bumiputera Bukan Islam) dipecahkan kepada tiga kawasan pilihan raya negeri: N.38 Kalaka (7,324 pemilih), N.39 Kerian (11,694) dan N.40 Kabong (9,157).

Mampukah Wahab Aziz memeprtahankan undi majoritinya, atau undi majoriti akan terhakis nanti, diandaikan benar beliau masih  bertanding? – Sarawakvoice.com