Sunday, August 14, 2022

78 penghuni rumah panjang mangsa kebakaran, bomba redah 5 jam ke lokasi

Secara Rawak

KANOWIT: Demi tugas dan tanggungjawab, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit meredah lebih lima jam menggunakan jalan darat dan air untuk pergi ke lokasi kebakaran Rumah Panjang Anthony Ajut, Nanga Nirok, Sungai Ngemah dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam tadi, 78 mangsa daripada 10 keluarga hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan, Bomba menerima panggilan kecemasan dari Ahli Dewan Undangan Ngemah Alexander Vincent memaklumkan kebakaran rumah panjang itu pada jam 8.17 malam.

Namun, kedudukan lokasi yang jauh dan keadaan gelap menyukarkan pasukan penyelamat untuk ke lokasi kejadian.

“Bomba hanya dapat pergi ke lokasi kejadian pagi ini,” katanya.

Jelasnya, perjalanan dari Kanowit ke Majau mengambil masa 20 minit menggunakan bot bomba, manakala perjalanan jalan darat dari Majau ke Ngemah mengambil masa dua jam.

“Perjalanan diteruskan dari Ngemah ke Nanga Neruk menggunakan bot panjang melalui Sungai Ngemah mengambil masa tiga jam untuk sampai ke lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, sudah pasti apabila tiba di lokasi kejadian rumah panjang tersebut sudah musnah terbakar.

Namun, jelasnya pasukan forenik bomba tetap menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru