Thursday, June 30, 2022

Shah Rukh Khan  dalam opera 1MDB

Secara Rawak

Soap opera itu merupakan istilah dalam pengajian komunikasi yang merujuk kepada drama bersiri radio mahupun televisyen.

Ramai juga  rakan di universiti dulu menterjemahkannya sebagai opera sabun. Bisik gelak ketawa di belakang bilik kuliah sahajalah. Bukan drama ataupun opera yang hendak disentuh di sini, tetapi cerita 1MDB – sebagai sumber ilham.       

Rugi jikalau tiada penggiat industri media yang tampil menerbitkan filem pasal 1MDB. Semua plot cerita sudah ada dalamnya. Isu 1MDB mula hangat lebih kurang sewaktu dengan pertikaian DAP-PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) yang menyaksikan akhirnya mereka membawa haluan masing-masing.

Bahang 1MDB tidak dapat ditandingi sehinggakan ramai yang terlepas pandangan PR malahan saya percaya masih ada yang tidak pasti sama ada PR masih wujud atau tidak hari ini.

Angin sepoi-sepoi 1MDB berhutang RM42 bilion yang ditiup rupa-rupanya hanyalah iceberg cerita.  Satu demi satu muncul dikaitkan dengan 1MDB timbul selepas itu.

Portal berita Sarawak Report (SR) dan Wall Street Journal (WSJ) menjadi ‘penglipur lara’ kepada pelbagai topik hangat sekali gus mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Cerita konspirasi rancangan Xavier bekas pekerja Petro Saudi menjual data yang dicuri. Namun kurang bernasib baik tertangkap oleh pihak berkuasa di Thailand secara solo pun boleh bikin sebuah filem.

Lepas itu muncul cerita RM2.6 bilion dikatakan daripada dana 1MDB. Sebenarnya terdapat juga komuniti alam maya yang mengaitkannya dengan skuad Malaysia yang dibelasah UAE 10-0. Luar biasakan?

Rombakan kabinet pun cuba diheretkan bersama. Mungkin kerana ada ahl PAC yang diangkat menjadi anggota kabinet?    Tidak lupa cerita SPRM yang disiasat polis yang membawa kepada kunjungan beramai-ramai pemimpin pembangkang ke pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi sokongan moral kepada mereka.

Persaraan mantan Ketua Hakim Tan Sri Ghani Patail juga dibingkaikan dengan isu 1MDB. Akan datang ini adalah persaraan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Kes pembunuhan Kevin Morais dan pengasas AmBank, Hussain Najadi pun cuba dikaitkan dengan isu 1MDB.

Fikir-fikir kalau betul perincian akaun boleh bocor begitu mudah bagus juga penabung-penabung bank menimbangkan secara serius tukar kepada alternatif lain yang lebih boleh harap.

Takkan “harapkan pagar, pagar makan padi”? Mesti ada sebabnya.    

Apa lagi? Terbaharu filem The Wolf of Wall Street. Siapa sangka boleh ada kaitan juga dengan Leonardo DiCaprio, pelakon lelaki Hollywood yang lebih dikenali dengan filem Titanic.

Patutlah ABC yang berpangkalan di Australia pun datang. Cuma yang mengecewakan sedikit watak-wataknya semuanya lebih kurang sama sahaja – One Trick Pony pun ada.     

Jadinya, jika difikirkan sejenak ada juga naluri ini bertanyakan kepada diri tidaklah kisah 1MDB ini memeningkan kepala untuk memutuskan sumber manakah yang boleh dipercayai.

Saya yakin ramai yang keliru: Yang mana yang betul, dan yang mana yang tidak betul?

Sambil triangulasi maklumat-maklumat yang ada, boleh sudah mula menulis sebuah skrip soap opera yang diinspirasi daripada kisah 1MDB ini.

Tetapi watak Arul Kanda wajar dipertimbangkan untuk dimasukkan sekalilah dan ambil Shah Rukh Khan untuk memegang watak ini. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru