Tuesday, June 28, 2022

Kerajaan boleh jadi pembangkang, pembangkang boleh jadi kerajaan

Secara Rawak

Seorang teman mengisahkan bagaimana selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, seorang petani lelaki berusia dalam lingkungan 60-an, di pedalaman Sarawak, bertanya kepada beliau: “Betulkah pembangkang dapat menjadi kerajaan?”

Ya, bagi sesetengah orang, pembangkang tetap akan terus menjadi pembangkang dan kerajaan akan terus kekal sebagai kerajaan. Tidak mungkin pembangkang dapat menjadi kerajaan dan memerintah negara.

Bagi mereka, kerajaan sinonim dengan Barisan Nasional (BN) dan BN sinonim  dengan kerajaan. Kedua-duanya tidak mungkin boleh dipisahkan. Itulah antara sebab mengapa BN terus menguasai kerusi terutama di luar bandar, disebabkan pemahaman politik dan pilihan raya yang rendah.  

Hakikatnya,  dalam sistem demokrasi, kerajaan boleh menjadi pembangkang dan pembangkang boleh menjadi  kerajaan. Inilah yang pernah terjadi di  Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Perak, Terengganu, Kelantan, malah Sabah.

Pembangkang dapat menjadi kumpulan politik alternatif dan seterusnya menggantikan kerajaan jika mereka dapat menawarkan dasar, perjuangan dan ideologi yang lebih baik daripada parti yang memerintah. Mereka perlu mendapat mandat daripada rakyat melalui pilihan raya.

Kita telah menyaksikan bagaimana negeri yang suatu ketika dahulu ditakluki BN, selepas PRU pada 2008 dan 2013, kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat – DAP, PAS dan PKR.

Tidak banyak parti pemerintah yang kekal selepas lama berkuasa. Boleh dikatakan, disebabkan kelemahan,  kealpaan dan keangkuhan, ada parti yang kecundang kerana disingkirkan oleh rakyat yang sudah muak dengan kepemimpinan yang tidak lagi selari dengan kehendak dan aspirasi rakyat. Banyak contoh di dunia ini.

Turun naiknya sesebuah parti dalam sejarah politik di Amerika Syarikat, United Kingdom, Thailand, malah Indonesia sudah menjadi catatan sejarah. Pertanyaan daripada seorang lelaki yang dikatakan awal tadi mencerminkan tahap celik politik dalam kalangan sebahagian rakyat dan pengundi di negara kita.

Rendahnya pengetahuan mereka tentang maksud demokrasi dan pilihan raya ada kaitan dengan tahap pendidikan dan kematangan politik mereka. Pengundi yang tidak celik politik inilah yang terus tertawan minda mereka dan menjadi penyokong setia BN.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila BN terus memasakkan ke dalam minda dan jiwa mereka, bahawa hanya BN yang dapat memerintah.

Parti pembangkang hanya menjual air liur. Pembangkang hanya pandai menabur janji. Pembangkang tidak akan dapat membawa pembangunan. Dan banyak lagi kelemahan dan ketidakupayaan lain.

Dalam sistem demokrasi dan hegemoni politik, kewujudan pembangkang bukanlah baharu, malah pembangkang diperlukan bagi menyemarakkan demokrasi. Tanpa pembangkang, demokrasi tidak akan berapa segar. Hakikatnya, pembangkang sama tua dengan demokrasi dan pilihan raya, dan juga kerajaan.  

Dalam pilihan raya, parti yang menang diangkat menjadi kerajaan, manakala yang tewas bertindak sebagai pembangkang.

Dalam proses pendemokrasian politik, peranan pembangkang perlu diiktiraf. Pembangkang perlu diberi tempat bagi memastikan mereka juga dapat memainkan peranan sesuai dengan kehendak rakyat dan tuntutan demokrasi. Pembangkang dan kepembangkangan bertanggungjawab penting bagi memastikan kita dapat menuju ke arah negara demokrasi yang matang.

Tindakan kerajaan memperlekeh pembangkang adalah keterlaluan. Pembangkang dapat memainkan peranan yang berkesan jika mereka tahu akan peranan mereka, apatah lagi mereka terdiri daripada parti yang sah di sisi perlembagaan dan undang-undang.

Sebagai rakyat yang menjunjung tinggi demokrasi, saya mengharapkan agar pembangkang bersifat bertanggungjawab. Saya ingin melihat lahirnya pembangkang yang arif, matang dan amanah. Saya mahu melihat pembangkang yang berani memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat dengan sikap yang bertangungjawab.

Saya  mahu melihat pembangkang yang gigih dan berani membongkar kebobrokan kerajaan. Membangkang semata-mata untuk membangkang tidak wajar dilakukan. Tetapi kadangkala pembangkang dipersepsi sebagai hanya membangkang untuk kepentingan politik, membangkang tanpa asas atau justifikasi yang kuat.

Biarlah pembangkang berperanan sebagai kuasa semak dan imbang dalam sistem demokrasi.

Biarlah pembangkang menegakkan kebenaran bagi mengelakkan salah guna kuasa dan rasuah. Tentu sebagai pengundi kita tidak mahu melihat pemimpin politik atau kerajaan yang mengamalkan rasuah, nepotisme dan kronisme.

Kita tentu tidak mahu wujudnya pemimpin yang gila kuasa dan rakus dengan kuasanya, dengan membolot kekayaan negeri dan negara. Kita tidak mahu kekayaan negara ini dieksploitasikan oleh pemimpin berkenaan hanya untuk anak, keluarga dan kroninya.

Tentu menjadi tugas dan tanggungjawab pembangkang untuk memastikan kerajaan berada di atas landasan yang betul – bersih, amanah, bertangungjawab.

Justeru, pembangkang perlu mengkritik dengan objektif, bertanggungjawab dan ikhlas  tentang kelemahan dan kekurangan dasar kerajaan agar dasar berkenaan atau pelaksanaan dasar itu dapat dibaiki.

Suara pembangkang yang terlalu ditekan, samalah juga dengan suara  rakyat yang ditekan. Suara pembangkang mencerminkan suara sebahagian suara rakyat atau pengundi yang memilih mereka ke Dewan Undangan Negeri.

Tetapi untuk pilihan raya ke-11 bagi DUN  Sarawak, tidak mungkin bagi pembangkang menjadi kerajaan. BN pasti akan mendapat  majoriti dua per tiga daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru