Monday, August 8, 2022

Jerip Susil, calon langsung BN di Mambong bakal ditentang DAP, PKR

Secara Rawak

SERIAN: Ketika rakyat Sarawak menunggu pengumuman senarai lengkap nama calon langsung sekitar pukul dua petang ini oleh Ketua Menteri, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP), kini dapat menarik nafas lega kerana dia dipilih untuk mewakili kerusi Dun Mambong.

Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak yang juga Adun Bengoh, Datuk Dr. Jerip Susil diumumkan sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) pertama yang diumumkan Adenan Satem di sini, semalam.

Adenan menganggap Dr. Jerip ahli dalam pasukannya, ketika beliau berucap merasmikan kompleks pejabat kerajaan negeri, pusat persidangan Serian dan sambungan kawasan perbandaran baharu Serian di sini.

Kerusi ini yang sebelumnya dikenali sebagai Bengoh, untuk beberapa minggu terakhir, menyaksikan persaingan sengit antara beliau dengan Ahkim Sarok.  Keputusan itu tentu mengejutkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang sepatutnya diwakili Ahkim sebagai calon.

Jumlah keseluruhan calon langsung BN yang akan diketengahkan belum dipastikan, tetapi kemungkinan besar dalam lingkungan 7 hingga 10. Kebanyakannya membabitkan kerusi pertelagahan antara SUPP-UPP dan SPDP-Teras.

Dr. Jerip dianggap masyarakat Bidayuh sebagai pemimpin yang terlalu kerap melompat parti.

Pada 1996, Jerip bertanding sebagai calon Bebas dan tewas tipis kepada Datuk William Tanyuh yang mewakili SUPP.

Namun, doktor perubatan itu memenangi kerusi Dun berkenaan tiga kali sejak 2001 atas tiket SUPP. Kemudian beliau berserta dua lagi wakil Adun SUPP, Ranum Mina (Opar) dan Johnical Rayong (Engkilili) keluar dari parti tertua Sarawak  itu pada 2014.

Mereka bersama-sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh menubuhkan sebuah parti baharu, Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Dengan perkembangan terbaharu itu, kerusi  ini dijangka berdepan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya negeri jika DAP dan PKR tidak dapat menyelesaikan pertelingkahan mereka dalam agihan kerusi terbabit.

Calon  PKR yang dijangka bertanding ialah Willie Mongin (PKR), dan Sanjan Daik (DAP).

Sama ada Ahkim akan menentang Jerip, banyak bergantung pada pendirian yang dipegang SUPP. Tetapi besar kemungkinan Ahkim tidak akan menentang sama ada atas tiket SUPP atau sebagai calon Bebas.

Pertandingan sebenar dijangka antara Jerip dengan Willie, memandangkan Jerip merupakan penyandang yang menang atas tiket SUPP pada 2011.

Willie telah bertanding untuk kali ketiga di Mambong iaitu pada 2011 atas tiket PKR, tetapi tewas kepada Jerip sebagai penyandang. Pada PRU-13, dia kalah kepada Datuk Seri James Dawos Mamit.

Sebelum ini, terdapat perebutan untuk mendapatkan kerusi itu, sama ada perlu diserahkan kepada SUPP atau UPP.

Mambong sebenarnya ialah kerusi baharu susulan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun lalu.

Kerusi Mambong mempunyai sekitar 16,000 pengundi dengan 70 peratus pengundi Bidayuh.

Jerip telah bertanding di kawasan Bengoh pada 1996, menentang calon SUPP, tetapi tewas kepada mendiang William Tanyoh ak Nub. Pada 1998 sekali lagi dia bertanding untuk kerusi Parlimen P198 Mambong, tetapi kalah kepada calon langsung BN Dawos Mamit.

Namun, pada 2001 Jerip dipilih oleh SUPP untuk bertanding pada pilihan raya negeri. Beliau turut bertanding pada 2006 dan 2011 dan menang kedua-duanya atas tiket SUPP.

Apabila menang pada 2011, dia dilantik menjadi Menteri Muda Kesihatan Awam.

Menurut Dawos Mamit dalam kenyataan dalam media baru-baru ini, kerusi itu sepatutnya diserahkan kepada SUPP atau PBB kerana kedua-dua parti terbabit mempunyai ahli yang ramai, dan ini membolehkan BN menang.

Dalam sekitar dua minggu lalu, terdapat iklan  dengan  slogan ‘What’s is Ours is Ours, Safeguard Sarawak’ dengan catatan N 19 Mambong Kawasan SUPP, yang kepunyaan kita tetap milik kita” dipasang di beberapa lokasi strategik di kawasan berkenaan.

Kata-kata tersebut membayangkan bagaimana parti tertua Sarawak itu memang ingin mendaftarkan keazaman mereka untuk diberi kerusi itu, dan bukannya kepada UPP yang mereka anggap sebagai bukan parti komponen BN.

Wajah Cr Ahkim Sarok, dengan kata-kata “Bakal Calon BN-SUPP N 19 Mambong”, tertera bersama-sama lambang dacing dan lambang SUPP,  memberi gambaran komitmen  SUPP untuk memastikan kawasan majoriti Bidayuh itu diserahkan kepadanya.

Akhir tahun lalu, Presiden SUPP, Senator Datuk Profesor Dr. Sim Kui Hian menegaskan, tidak akan melepaskan kerusi Mambong dan Serembu.

Dengan perkembangan terbaharu ini, ramai yang bertanya, bagaimana reaksi SUPP, sama ada menerimanya dengan berlapang dada atau ia akan menunjukkan tanda protesnya menjelang pilihan raya nanti. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru