Tuesday, December 6, 2022

20 dalil mengapa Fazzruddin tidak layak jadi calon PBB, DUN Tupong

Secara Rawak

KUCHING: Pada 26 Mac lalu, Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya,  Fazzrudin Abdul Rahman secara rasmi diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tupong.

Fazzruddin
Fazzrudin Abdul Rahman

Pengumuman Fazzruddin yang juga Ketua Penerangan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Negeri sebagai pengganti Datuk Daud Abdul Rahman, yang menyatakan persaraannya daripada politik, sememangnya telah dijangka.

Apatah lagi namanya cukup kuat bersaing dengan satu lagi nama, Dr Zaiedi Suhaili yang tidak kurang pengalaman politiknya, serta lama bergiat aktif di akar umbi PBB.

Bagaimanapun, setelah nama Fazzruddin diumumkan, beberapa tulisan dan dalil yang mengkritik beliau mula berkumandang di media sosial.

Kami siarkan sebahagian dalil-dalil berikut untuk tatapan pembaca:

————————————————————

Fazzrudin merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusuf. Beliau ialah Ketua Penerangan Pemuda PBB dan juga pilihan Fadillah untuk menjadi calon di Dun Tupong pada Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang, kerana beliau merupakan orang kepercayaan Fadillah untuk membantunya (Fadillah) kembali ke Sarawak menjadi Ketua Menteri Sarawak selepas Adenan.

Pada 26 March 2016, Adenan telah pun mengumumkan Fazzrudin menjadi calon Dun Tupong di perasmian Armada Pemuda PBB di Tanjung Datu dan sekali gus ia memberi peluang yang amat cerah kepada Fadillah untuk menjadi Ketua Menteri Sarawak UMNO yang pertama selepas Adenan.

Akan tetapi, Fazzrudin juga mempunyai banyak masalah di kawasan Dun Tupong dan beliau mempunyai banyak liabiliti yang tersendiri. Dan terbongkarlah 20 dalil mengapa Fazzrudin tidak layak menjadi calon PBB DUN Tupong adalah seperti berikut:

  1. Beliau dikenali oleh masyarakat di Dun Tupong sebagai seseorang yang mempunyai masalah sikap seperti sombong, berlagak dan tidak mesra kepada rakyat. Beliau dilihat hanya bergaul dengan golongan ‘Elite’ di dalam BN sahaja.
  1. Beliau merupakan seorang yang hipokrit. Ini kerana sebelum ini, jarang rakyat Dun Tupong melihat muka Fazzrudin di kawasan Dun Tupong walaupun beliau merupakan Setiausaha Politik kepada Fadillah. Tetapi, apabila Pilihan Raya Negeri Sarawak sudah dekat dan oleh kerana beliau mahu menjadi calon di Dun Tupong; tiba-tiba muka beliau sering muncul di kawasan.
  1. Janji-janji beliau kepada masyarakat di Dun Tupong selalu tidak ditunaikan dan aduan rakyat di kawasan Dun Tupong semakin hari semakin meningkat; dan kebanyakan masalah di kawasan Dun Tupong tidak diselesaikan.

Sepatutnya, beliau sebagai Setiausaha Politik kepada Fadillah seharusnya membantu Fadillah untuk menjaga dan menyelesaikan segala permasalahan di kawasan Dun Tupong. Sebagai contoh, akar umbi PBB Tupong sendiri pernah mengadu permasalahan rakyat di kawasan mereka kepada Fazzrudin. Akan tetapi, walaupun Fazzrudin pernah berjanji kepada mereka untuk menyelesaikan masalah di kawasan, malangnya beliau tidak pernah menunaikan janji.

  1. Beliau juga mempunyai sikap yang tidak mengambil peduli tentang permasalahan rakyat kerana rakyat di sekitar kampung Tupong Jaya pernah mengadu kepada pihak berwajib tentang masalah di Jalan Merdeka; iaitu ramai pengguna jalan raya tersebut mengalami kemalangan kerana jalan tidak rata, tidak mempunyai bonggol dan garisan kuning. Yang menghairankan, rumah Fazzrudin yang terletak di lorong Astana 6, Jalan Astana, Tupong Jaya yang dilihat sangat dekat dengan lokasi jalan yang bermasalah; dan mengapa beliau, selaku Setiausaha Politik kepada Fadillah tidak membantu rakyat kampung Tupong Jaya untuk menyelesaikan masalah jalan yang sangat bahaya kepada pengguna jalan raya? Tidak mungkin beliau tidak tahu mengenai permasalahan yang berlaku terletak sangat dekat dengan rumah beliau; dan Jalan Merdeka pula merupakan salah satu jalan utama rakyat hendak ke pusat bandar Kuching.
  1. Ketika beliau menjawat jawatan Setiausaha Sulit kepada Fadillah, beliau pernah dikenakan waran tangkap di atas kesalahan trafik pada tahun 2010 dan kes beliau hanya selesai pada 13 Januari 2011. Bagaimana beliau mahu menjadi calon sedangkan beliau pernah mempunyai kes mahkamah sebelum ini?
  1. Mengikut sumber maklumat dari pangkalan data JPJ, Fazzruddin mempunyai 4 kereta mewah iaitu kereta BMW 320i (atas nama isteri beliau), Toyota Harrier, ssangyong  Stavic dan Mitsubishi Airtrek. Persoalannya sekarang, bagaimana beliau mampu dan dapat membeli kereta mewah dengan sebegitu banyak sedangkan beliau hanya menjawat jawatan Setiausaha Politik.
  1. Beliau juga berminat dalam segala bidang perniagaan. Sebagai contoh, mengikut sumber dalaman PBB, beliau dan isteri mempunyai Stesen Minyak Petronas Taman Hui Sing di tengah-tengah bandar raya Kuching. Dan difahamkan, stesen minyak ini dimiliki dan dijaga oleh isteri beliau, Norazlin Sapawi. Persoalannya sekarang, bagaimana Fazzrudin dan isteri mempunyai modal yang besar untuk membuka stesen minyak di tengah-tengah bandar Kuching, dengan keluasan tanah yang agak luas sedangkan Fazzrudin hanya bekerja sebagai Setiausaha Politik? Adakah Fazzrudin dan isteri menabung sejak kecil untuk mendapat modal yang besar untuk membuka stesen minyak sendiri? Kebiasaannya, untuk membuka stesen minyak di tengah-tengah bandar Kuching memerlukan modal sekurang-kurangnya RM 1 juta.
  1. Taraf pendidikan beliau juga dipertikaikan. Mengikut sumber dalaman PBB, Fazzrudin sebenarnya hanya memiliki sijil diploma dan bagaimana beliau boleh menjadi calon di Dun Tupong se dangkan beliau mempunyai taraf pendidikan yang agak rendah? Ini kerana kerusi Dun Tupong merupakan kerusi bandar yang mempunyai ramai pengundi terpelajar dan cerdik pandai.
  1. Beliau mempunyai masalah sikap iaitu tidak suka mengangkat telefon apabila masyarakat di Dun Tupong menagih janji beliau kepada mereka dan lebih teruk lagi, beliau terus menutup telefon untuk mengelak daripada terus dihubungi oleh masyarakat di Dun Tupong. Sebagai contoh, Fazzrudin pernah berjanji kepada AJK Surau di sekitar kawasan Dun Tupong untuk memberi derma kepada Surau. Tetapi, malangnya selepas AJK Surau cuba menghubungi beliau untuk menagih janji; beliau langsung tidak mengangkat telefon dan selepas itu, mematikan telefon bagi mengelak panggilan daripada AJK Surau.
  1. Mengikut sumber dalaman kakitangan Fadillah, selepas program Fadillah selesai, pernah berlaku insiden bahawa Fazzrudin pernah tidak membayar pembekal katerer makanan. Dan ini bukan sahaja memalukan Fadillah, tetapi ia juga memalukan PBB.
  1. Beliau juga dilihat tidak menghormati pemimpin dan sering dilihat cuba mendahului pemimpin yang lain terutama sering merasmikan program menggantikan Datuk Daud Abdul Rahman. Sepatutnya, hanya pemimpin yang lebih senior daripada beliau seperti Dr Zaiedi dan Fadillah sendiri yang harus merasmikan program Daud. Disebabkan tindakan kurang ajar beliau ini, ramai AJK Cawangan Tupong berasa tidak berpuas hati dengan beliau.
  1. Beliau cuba mendapat pengaruh di kawasan Dun Tupong dengan merasuah pemuda-pemuda PBB dengan menjanjikan projek, dan mana-mana ketua-ketua ranting PBB yang masih berdegil tidak menyokong beliau; beliau akan sabotaj permohonan bantuan mereka daripada agensi-agensi kerajaan pusat dengan menyalahgunakan kapasiti beliau sebagai setiausaha politik kepada menteri di kerajaan pusat.
  1. Mengikut sumber dalaman PBB Cawangan Tupong, dianggarkan lebih kurang 60 peratus ketua-ketua ranting PBB Tupong dan lebih kurang 50 peratus pemuda-pemuda ranting PBB Tupong tidak menyokong Fazzrudin.
  1. Mengikut sumber dalaman ranting PBB Tupong, semua projek kerajaan pusat di kawasan DUN Tupong perlu melalui dan mendapat kelulusan daripada Fazzrudin dan Edwin Abdullah, Ketua Pemuda PBB Cawangan Tupong. Ini kerana, difahamkan mereka berdua menjaga hal-ehwal projek di Dun Tupong.
  1. Memandangkan Bustari mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Adenan dan Jamilah, Fazzrudin menggunakan Bustari untuk melobi Adenan dan Jamilah bagi menjadi calon di Dun Tupong. Ini kerana difahamkan, Bustari adalah salah seorang ‘the main political funder’ kepada politik Adenan.
  1. Pada tahun ini, Fazzrudin sudah berumur 41 tahun dan beliau bukan lagi dikategorikan sebagai golongan belia atau anak muda. Ini kerana mengikut tafsiran belia di Malaysia (Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Belia, Kementerian Belia dan Sukan), seseorang yang berumur 16 hingga 40 tahun sahaja ditafsirkan sebagai belia di Malaysia. Dan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang, majoriti pengundi di Sarawak adalahdaripada golongan belia atau anak muda.
  1. Difahamkan juga Fazzrudin merupakan orang kuat dalam gerakan Armada Pemuda PBB dan baju rasmi Armada Pemuda PBB berwarna merah. Mengapa Fazzrudin perlu memakai baju berwarna merah dalam program Armada Pemuda PBB? sedangkan baju rasmi BN PBB adalah berwarna biru. Baju berwarna merah kebiasaannya dipakai oleh UMNO.
  1. Ketika Sarawak menghadapi banjir baru-baru ini, Fazzrudin telah turun ke kawasan banjir di Dun Tupong untuk mendapatkan publisiti murahan dengan menunjuk-nunjuk yang beliau seorang yang prihatin kepada rakyat di kawasan. Ini kerana dalam Media Sosial BN ada menunjukkan gambar beliau sedang mendokong warga emas. Tetapi, yang agak menghairankan, air banjir amatlah cetek. Selain itu, Fazzrudin juga dilihat memakai topi BN berwarna merah dan warna merah kebiasaannya dipakai oleh UMNO dengan topi rasmi BN PBB adalah berwarna biru. Adakah Fazzrudin cuba mempromosikan UMNO di Sarawak?.
  1. Sebelum ini, Fazzrudin cuba melobi untuk mendapat sokongan kuat bagi menjadi calon di Dun Tupong daripada pemimpin-pemimpin UMNO seperti Hishammudin, Khairy, Ahmad Maslan dan Puad Zarkashi di kerajaan pusat. Dan mengapa beliau perlu menagih sokongan daripada pemimpin-pemimpin UMNO yang pro-Najib, sedangkan UMNO tidak wujud di Sarawak?
  1. Pada 23 Januari 2016,  dalam ucapan ketika ‘Program Malam Pendekar’ di Dewan Hikmah, Fazzrudin telah membodek Adenan dengan mengatakan bahawa beliau dan Rumpun Seni Silat Sarawak akan sentiasa berada di hadapan Adenan. Sedangkan, ramai orang di dalam PBB tahu bahawa sebelum Adenan menjadi Ketua Menteri Sarawak; Fazzrudin memang tidak pernah menyokong Adenan.

Dan mengikut sumber dalaman PBB, sebelum Adenan menjadi Ketua Menteri Sarawak, Fazzrudin pernah mengatakan bahawa jawatan Presiden PBB yang dipegang oleh Adenan sekarang boleh dicabar oleh sesiapa pun. Sebenar-benarnya, adakah Fazzrudin cuba mengatakan bahawa beliau akan sentiasa berada di hadapan Adenan atau sentiasa berada di belakang Adenan untuk menikam belakang? Sudah jelas lidah Fazzrudin adalah lidah yang bercabang.

Kesimpulannya, jika Adenan tetap berdegil dan terus mengikut telunjuk Bustari dan Rosmah untuk memilih Fazzrudin menjadi calon di Dun Tupong, maka Adenan telah membuka ruang dan jalan untuk UMNO masuk ke Sarawak.

Dan tidak mustahil, pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan datang, pengundi di DunTupong dan ahli-ahli akar umbi PBB di Tupong akan menolak Fazzrudin yang menyebabkan PBB kehilangan kerusi Dun Tupong atau kekurangan majoriti undi yang mendadak. – Sarawakvoice.com

TERKINI:Fazzruddin tangkis 20 dalil, sifatkan politik kotor dan strategi jahat, halang jadi calon Tupong

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru