Monday, August 8, 2022

Kerajaan tidak akan layan sebarang tuntutan untuk tebusan empat anak kapal dari Sarawak : Masir Kujat

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan tidak akan melayan sebarang permintaan wang tebusan sekiranya ia tujuan empat anak kapal “Massive 6” diculik pada Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat berkata, sebaliknya kerajaan akan berunding dengan kerajaan Filipina bagi mencapai kaedah terbaik untuk membebaskan empat rakyat negara ini yang berasal dari Sibu itu.

“Dasar kerajaan, kita tidak akan melayan sebarang tuntutan wang tebusan.

“Ia bergantung kepada keluarga waris, jika mereka mahu, jika wang tebusan yang diminta rendah dan mereka mampu membayar…. mereka boleh berbuat demikian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Taklimat dan Dialog Program Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG) Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Majma’, Kompleks Islam Sarawak pagi ini.

Bagaimanapun katanya, beliau dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa belum ada sebarang berita yang diperoleh daripada kumpulan penculik ini.

“Malah belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab,” jelasnya.

Dalam kejadian sekitar jam 6.15 petang Jumaat lalu, empat anak kapal Massive 6, Wong Teck Kang, 31; Wong Teck Chi, 29, Johnny Lau Jung Hien, 21; dan Wong Hung Sing, 34, telah diculik sekumpulan lapan lelaki bertopeng yang lengkap bersenjata api sebelum melarikan diri menggunakan bot laju dua enjin ke sempadan Pulau Ligitan, Semporna, Sabah.

Wong Teck Chii dan Wong Teck Kang
Wong Teck Chii dan Wong Teck Kang
Johnny Lau dan Wong Hung Sing
Johnny Lau dan Wong Hung Sing

Turut berada di atas kapal ketika kejadian ialah tiga anak kapal warga Myanmar dan dua dari Indonesia. Bagaimanapun, kelima-lima anak kapal warga asing itu dibebaskan kemudian.

Mengulas lanjut, Masir berkata, pihak polis masih mengumpul maklumat mengenai penculikan ini termasuk kemungkinan mereka menuntut wang tebusan.

“Kita mesti menunggu…seperti kes-kes penculikan sebelum ini, termasuk kepada seorang penduduk Sarawak iaitu mendiang Bernard Then Ted Fen”.

Ted Fen diculik di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei lalu bersama-sama pengurus restoran itu Thein Nyuk Fun, 50. Nyuk Fun kemudian dibebaskan manakala Ted Fen dijumpai mati dengan kepalanya dipenggal.

Pihak keselamatan kata Masir, yakin kumpulan penculik berkenaan akan menghubungi keluarga untuk meminta wang tebusan sebagai ganjaran membebaskan mangsa.

“Ini kerana mereka memerlukan wang bagi membeli senjata, menyalurkan dana untuk aktiviti-aktiviti mereka dan sebagainya,” jelasnya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru