Monday, August 8, 2022

Tolak pembangkang hipokrit di luar bandar: Tok Nan

Secara Rawak

SIMUNJAN: Pengerusi BN Negeri Tan Sri Adenan Satem semalam membidas pembangkang, terutamanya Parti Tindakan Rakyat (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)yang bersikap “hipokrit” dengan bertanding di kawasan luar bandar Sarawak.

Berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di pekan Simunjan, yang dihadiri kira-kira 10,000 orang, Adenan menyarankan parti itu memiliki sedikit “malu” untuk bertanding di kawasan luar bandar kerana mereka pernah menentang agenda pembangunan luar bandar yang menjadi keutamaan pentadbirannya.

“Oleh itu, saya minta rakyat di sini yang juga pengundi di luar bandar menolak DAP kerana parti itu membantah permohonan saya untuk mendapatkan peruntukan tambahan RM1 bilion untuk program pembangunan luar bandar di negeri ini.

“PKR juga seharusnya malu bertanding di kerusi baharu ini kerana parti itu membantah keras penambahan 11 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri sehingga sanggup membawa kes ini ke mahkamah.

“Tetapi keputusan Mahkamah Rayuan berpihak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” tegasnya.

PKR dijangka menurunkan calon muda, yang juga seorang wanita yang berkelulusan undang-undang, Jamilah Baharuddin untuk menentang calon BN di kawasan tersebut.

Kata Adenan, ekoran tindakan pihak pembangkang ini, para pengundi termasuk di Simunjan dan Gedong seharusnya tidak memberi undi kepada calon parti pembangkang — PKR dan DAP– pada pilihan raya negeri akan datang.

Pada dua sidang dewan undangan negeri yang berbeza, Adenan telah memohon tambahan peruntukan daripada DUN Sarawak sebanyak RM1 billion bagi disalurkan kepada beberapa projek pembangunan di luar bandar Sarawak, yang mengambil masa jika menunggu peruntukan kerajaan pusat.

Antara projek penting yang diumumkan tersebut termasuklah pembinaan jambatan Sibuti di Miri, jambatan Bako di Kuching, jambatan Limbang dan jambatan Marudi.

Permohonan RM500 juta untuk setiap sidang dewan ini menjadi perbahasan hangat apabila menerima bantahan wakil pembangkang, terutamanya Ketua Pembangkang, Chong Chieng Jen. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru