Selepas lupus 360,422 cukai tanah, Adenan bakal umum turun cukai pintu

0
253

KOTA SAMARAHAN: Kabinet Sarawak yang bersidang Khamis lalu telah bersetuju untuk menurunkan kadar cukai pintu atau cukai kediaman melibatkan 360,422 geran dengan kadar cukai bernilai RM8.58 juta di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata, persetujuan tersebut dicapai setelah mengambil kira kebajikan rakyat negeri ini yang terbeban oleh tekanan ekonomi, terutama selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Beliau yang bercakap kepada media selepas menyempurnakan pelancaran jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dun Asajaya, Muara Tuang dan Stakan di Dewan Suarah Kota Samarahan semalam, bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut bagaimana dan bila pengurangan itu akan dilaksanakan.

Dalam ucapannya sebelum itu, Adenan sekali lagi memperingat ahli-ahli PBB di kawasan itu tentang kejayaan Kerajaan Negeri yang baharu berusia dua tahun melaksanakan 50 keputusan yang meringankan beban rakyat termasuk menghapuskan tol dan mengurangkan tarif elektrik.

Oleh itu, beliau mahu rakyat memberi mandat baharu kepada kerajaan pimpinannya dalam pilihan raya negeri akan datang, untuk memperkukuh pengaruhnya bersuara di peringkat Pusat.

“Dengan mandat kuat, saya boleh membawa suara rakyat Sarawak berhadapan dengan Kerajaan Persekutuan dan meminta hak-hak negeri ini dikembalikan,” ujarnya.

Adenan mula membayangkan idea pengurangan cukai ini pada Januari lalu, ketika berucap merasmikan Agenda DBKU di Kuching.

Ia merupakan inisiatif terkini kerajaan setelah beliau mengambil langkah berani mengumumkan pemansuhan cukai tanah meliputi tanah pertanian pekebun kecil kurang daripada 100 ekar dan juga semua tanah kediaman di negeri Sarawak lebih dua minggu lalu.

“Ia adalah 19 peratus daripada keseluruhan cukai tanah negeri ini,” jelasnya pada majlis tersebut.

Daripada jumlah tersebut, 173,752 geran merupakan tanah pertanian pekebun kecil dengan nilai cukai RM3.62 juta manakala 186, 670 geran lagi merupakan tanah kediaman yang melibatkan nilai RM4.96 juta.

Ia merupakan lapan peratus dan 11 peratus daripada keseluruhan jumlah cukai tanah untuk kedua-dua jenis tanah tersebut dan kerajaan negeri akan membayar balik mana-mana individu yang telah membayar awal atau terlebih bayar. – Sarawakvoice.com