Monday, August 8, 2022

Naroden ke Dun Gedong, enam bakal calon berikrar di Dun Simunjan

Secara Rawak

SIMUNJAN: Bagai sirih pulang ke gagang, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) dan Menteri Muda Perancangan Sumber Sarawak, Datuk Mohd. Naroden Haji Majais semalam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional di kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (Dun) Gedong pada pilihan raya negeri akan datang.

Diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Haji Satem pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini, Naroden merupakan muka lama yang sebelum ini bertanding di Dun Simunjan sejak 1991.

Bagaimanapun, Adenan tidak mengumumkan siapa calon pengganti Naroden bagi kerusi Dun Simunjan.

Sebaliknya, enam nama “terhangat” yang disebut-sebut sebagai calon berpotensi menang BN di kerusi tersebut diminta tampil melakukan ikrar dan angkat sumpah, serta untuk setia dan memberi sokongan padu bagi membantu mana-mana calon yang akan mewakili BN di Dun Simunjan dalam PRN11.

Mereka ialah Penyelaras PBB Bahagian DUN N25 Simunjan — Cr. Awla Dris, Raili Ali, Ibrahim Seriee (kakitangan Hospital Umum Sarawak), Mohd. Yusuf Haji Long (Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri), Zainap Halip (Pegawai Tadbir Sarawak, Simunjan) dan Rini Tupong (Pengarah RELA Sarawak).

Terdahulu, Naroden dalam ucapan aluannya redha sekiranya beliau tidak terpilih sebagai calon BN di kawasan Simunjan dalam PRN akan datang.

Beliau sebaliknya berharap agar calon baharu yang dipilih di kawasan tersebut adalah dalam kalangan anak tempatan serta seseorang yang boleh memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional.

Difahamkan, PBB Simunjan telah mengemukakan lapan nama kepada Adenan, yang juga Pengerusi BN Negeri untuk dinilai sebagai calon kerusi tersebut.

Dalam saingan empat penjuru pada pilihan raya negeri ke-10, Naroden memperoleh 5,495 undi untuk mempertahankan kerusi tersebut menewaskan Mashor Hussen dari Parti Keadilan Rakyat (1,417 undi ), Mac Palima Nyambil – Parti Cinta Malaysia (237 undi) dan calon bebas, Zaini Le’ (179 undi) – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru