Wednesday, June 29, 2022

Kurang daya saing, kepimpinan rapuh bakal saksi PROTON terkubur

Secara Rawak

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed atau Tok Pa memang terkenal dengan lurus bendul. Beliau tidak pandai berkias apatah lagi berjenaka, terutama mengupas sesuatu isu yang berat.

Justeru apabila Tok Pa pada 1 April lalu, mendedahkan semenjak tahun 1991, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM13.9 billion untuk syarikat PROTON Holdings Berhad — ia memeranjatkan banyak pihak.

Penjelasan  Tok Pa dilakukan sebaik sahaja mantan Perdana Menteri,  Tun Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan sebagai penasihat PROTON pada minggu lalu.

Kata Tok Pa, ketika ini kerajaan sedang mempertimbang akan permohonan geran dan pinjaman mudah kepada syarikat itu yang dianggarkan sekitar RM1.5 billion.

Mengikut laporan Singapore Strait Times (SST), untuk tempoh empat tahun kebelakangan ini, kerajaan telah menyuntik sebanyak RM2.5 billion kepada PROTON untuk mengurangkan beban syarikat itu.

Tahun lalu sahaja kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM100 juta pinjaman mudah untuk membantu meringankan beban mereka.

Kenapa kerajaan begitu bermurah hati kepada PROTON? Bukankah PROTON Holdings Berhad telah diswastakan kepada kumpulan DRB-HICOM?

Memang benar,  sebelum ini rakyat Malaysia menyanjungi dan mendokong kereta keluaran PROTON.

Kerana itu, pada tahun 1993 misalnya, PROTON menguasai sebanyak 73 peratus daripada pasaran automotif domestik. Namun, pada tahun lalu, angka tersebut merundum ke tahap 15 peratus sahaja.

Kejatuhan ini bukan bermakna rakyat Malaysia tidak lagi patriotik, tetapi mereka tidak bersetuju dengan cara PROTON Holdings Berhad yang berterusan mengamalkan strategi ‘rebadging’.

Dengan kata lain, PROTON bukan mengeluarkan kereta, sebaliknya hanya ‘memasang’ kereta-kereta Mitsubishi dan Renaults (seperti Tiara dan Savy) dan diberi jenama tempatan.

Terkini PROTON memasang kereta Honda Accord dan menamakannya sebagai Perdana. Sebelum itu, Mitsubishi Lancer telah dijenamakan sebagai Inspira. Begitu jugalah dengan model-model Proton lainnya.

Kenyataan Tok Pa mengesahkan bahawa semenjak tiga dekad yang lalu PROTON sentiasa mengalami kerugian dan bergantung penuh kepada bantuan kerajaan untuk terus berada dalam pasaran.

Walaupun bantuan dan perlindungan telah diberikan oleh pihak kerajaan, PROTON masih tidak mampu berdiri dengan sendiri seperti pesaingnya iaitu Perusahaan Otomobil Nasional Kedua Sdn Bhd  (PERODUA).

Secara sedar atau tidak, berikutan dasar melindungi industri automotif tempatan, Malaysia telah mendera rakyatnya dengan mengenakan cukai yang tinggi terhadap kereta import.

Kereta-kereta asal Korea dan Jepun yang sepatutnya dijual pada harga sekitar RM20,000 hingga RM30,000 mengikut harga pasaran terpaksa dijual pada harga RM70,000 hingga RM80,000.

Berikutan pengunduran Tun Mahathir, selain kejatuhan harga minyak dan kekurangan hasil pendapatan, kini baharulah kerajaan bertindak untuk mengkaji semula polisi mereka terhadap PROTON.

Khabar angin bertiup kencang mengatakan PROTON mungkin gulung tikar dalam masa empat atau lima bulan terdekat.

Berhadapan dengan permohonan baru untuk mendapatkan geran oleh PROTON, Tok Pa telah memberikan empat syarat, iaitu segera mengenal pasti rakan kongsi strategik dan syarikat harus diuruskan secara profesional.

Dua syarat lain ialah tiada sebarang  campur tangan dalam operasi syarikat dan langkah tegas mesti diambil untuk menjamin pelan jangka masa panjang syarikat.

Syarat-syarat tersebut memperlihatkan kerajaan sedar akan model perniagaan yang diguna pakai PROTON ketika ini tidak lagi relevan dan mampu bertahan lama.

Kini terserah kepada pucuk pimpinan PROTON untuk mengambil inisiatif bagi menyelamatkan syarikat itu daripada menerima nasib seperti PERWAJA dan MA —  dua konglomerat terkenal yang sebelum ini mencatat kerugian berbillion ringgit kerana tidak memiliki daya saing. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru